Polis siasat kemungkinan urus niaga i-Serve Online berkait dengan skandal operasi MYAirline | DagangNews Skip to main content

Polis siasat kemungkinan urus niaga i-Serve Online berkait dengan skandal operasi MYAirline

KUALA LUMPUR 25 Okt - Polis sedang meneliti urus niaga melibatkan i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. bagi melihat sama ada terdapat jejak yang menghubungkan syarikat e-dagang dan syarikat penerbangan MYAirlines yang mana pengasas bersamanya sedang disiasat atas kesalahan pengubahan wang haram.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada rangkaian i-Serve boleh digunakan untuk pengubahan wang haram bagi membiayai MYAirlines yang mengalami masalah kewangan.

 

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat dengan dalang utama perniagaan i-Serve serta rangkaian perniagaan dalam syarikat itu sejak 2018, disyaki hasil daripada wang pelaburan.

 

“Siasatan kini tertumpu kepada dokumen transaksi membabitkan perniagaan i-Serve kami dan tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan lain berkaitan kes ini dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

 

Terdahulu, Ramli memberitahu bahawa polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an di rumahnya di Bangsar di sini yang disyaki bersekongkol dengan pengasas bersama MYAirline, Datuk Allan Goh Hwan Hua dan keluarganya.

 

Hwan Hua juga merupakan pemegang saham dalam i-Serve.

 

myairline
Datuk Allan Goh Hwan Hua

 

Goh, isteri dan anak lelakinya ditahan di rumah mereka di Shah Alam, Selangor pada 17 Oktober untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Ramli berkata, polis sedang menyiasat peranan lelaki Bangsar itu dan telah membekukan 15 akaun bank miliknya bernilai RM5 juta selain merampas beberapa dokumen dan barangan yang dimilikinya.

 

Ramli menggesa pelabur i-Serve memfailkan laporan polis mengenai jumlah pelaburan individu mereka bagi memudahkan siasatan menyeluruh terhadap syarikat itu, QA Partnership, Trillion Cove dan MyAirlines.

 

“Laporan ini penting untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

 

Ramli berkata, polis sedang meneliti kesalahan lain yang dilakukan dalam skandal MYAirline, seperti penyalahgunaan dana pelabur, lapor The Star secara berasingan hari ini.

 

myairline

 

“Ia bukan sekadar pengubahan wang haram. Kami juga melihat jenayah lain seperti menyalahgunakan dana daripada pelabur. Kami sedang melihat jenayah dan kesalahan yang mungkin dilakukan dalam tempoh dua tahun atau lebih (operasinya).

 

"Ia akan mengambil masa, tetapi penyiasat bekerja keras, meneliti transaksi yang melibatkan beberapa syarikat, termasuk i-Serve dan MYAirline,” katanya seperti dilaporkan The Star.

 

Beliau berkata, penyiasat menggunakan perakaunan forensik tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

 

“Sejak siri pertama tangkapan dibuat, penyiasat CCID telah berusaha untuk membongkar jenayah itu. Mereka sedang meneliti kenyataan saksi serta dokumen berkaitan daripada pelbagai syarikat yang dikaitkan dengan suspek utama,” katanya.

 

Setakat ini katanya, 12 kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology and Vacation Sdn. Bhd., enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu komputer peribadi dan 10 barang kemas telah dirampas.

 

Polis memulakan siasatan terhadap MYAirlines selepas mereka secara tiba-tiba mengumumkan penggantungan operasi pada 5.30 pagi 12 Oktober 2023, dengan alasan masalah kewangan.

 

Tindakan mengejut itu menyebabkan ribuan penumpang terkandas dalam penerbangan domestik dan serantau.- DagangNews.com