Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pasaran tempatan petang ini, susut 21.84 mata untuk ditutup kepada 1,662.74 mata selepas situasi politik negara yang tegang selama ini 'meletus' kembali.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada 1,684.58 mata ketika ditutup Jumaat lalu.
Petang ini, indeks itu yang susut 1.3% berlegar dalam jajaran antara 1,662.45 hingga 1,695.96 mata.
Jumlah dagangan sebanyak 11.88 bilion bernilai RM7.2 bilion.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 964 berbanding 461 manakala 368 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0510/0550 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan Jumaat pada RM4.0500/0550.
Dalam dagangan Jumaat lalu, ringgit berlegar hingga mencecah paras tertinggi sejak Julai 2018, pada RM4.083 berbanding dolar AS, mengatasi kerugian yang dialami akibat wabak COVID-19.
Petang ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mendakwa kerajaan Perikatan Nasional dijangka tumbang esok ketika bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.
Beliau mengadakan sidang akhbar bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menyatakan pendiriannya tidak akan mengundi untuk bajet berkenaan yang dibentangkan kali pertama 6 November lalu.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks FBM KLCI ditutup rendah di sebalik perkembangan terkini yang mengejutkan politik negara apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan.
Dalam kalangan komponen KLCI, saham pengeluar sarung tangan getah seperti Hartalega mendahului kaunter rugi apabila susut 12.8% manakala Genting Malaysia menerajui kaunter untung dengan naik 3.7%.
"Ini berikutan para pelabur terus membanjiri saham berkaitan perbankan di tengah-tengah kenyakinan terhadap pemulihan ekonomi tahun hadapan," katanya kepada DagangNews.com.
Dari segi sektor, jelas beliau, indeks penjagaan kesihatan yang turut merangkumi pengeluar sarung tangan getah menyaksikan penurun terbesar dalam kalangan sektor.
Indeks ini susut 5.2% memandangkan perkembangan negatif masih membelenggu Top Glove.
Dalam pada itu, indeks hartanah pula menyaksikan peningkatan terbesar sebanyak 0.9%.
Menurut Reuters, kebanyakan mata wang Asia berada di antara dolar AS yang lemah pada Isnin dengan beberapa bank pusat di rantau ini mengambil langkah untuk mengatasi kenaikan terhadap dolar AS.
Dalam masa sama, pasaran saham juga meningkat seiring dengan harapan vaksin akan memulihkan ekonomi global.
Dolar AS merosot 0.2% berbanding sekumpulan mata wang global pada 90.621 setakat 0804GMT, berada dalam kitaran Disember tetapi tidak jauh daripada paras terendah sejak 2018.
Perkembangan terhadap vaksin COVID-19 menyemarakkan sentimen risiko dengan penghantaran pertama ke AS sebagai sebahagian daripada misi bersejarah untuk vaksinasi ke atas lebih 100 juta penduduk menjelang akhir Mac ini.
Penganalisis dalam nota kajian JPMorgan berkata, vaksin akan terus merangsang pasaran dan membolehkan pelabur melihat di luar tahap kes, hospitalisasi dan kematian.
Harga minyak juga diniagakan tinggi hari ini selepas mencatat kenaikan 6 minggu berturut-turut selepas pelabur mengambil kira pemulihan ekonomi pada tahun hadapan, lapor Reuters.
Harga minyak mentah AS, West Texas Intermediate naik 9 sen kepada AS$46.66 setong manakala Brent naik 12 sen kepada AS$50.09 setong. - DagangNews.com