Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Pos Malaysia memaklumkan pembukaan semula perkhidmatan penghantaran antarabangsa bagi mel dan bungkusan (Mel Udara Antarabangsa, Paket Kecil Antarabangsa, Flexipack International, Bungkusan Udara Antarabangsa dan EMS) 89 negara bermula hari ini.
Syarikat pos dan logistik itu berkata, sebelum ini perkhidmatan tersebut dihentikan sementara disebabkan impak COVID-19 yang mengakibatkan tahap sekatan yang berbeza di negara-negara destinasi terhadap penerbangan, penutupan lapangan terbang dan perkhidmatan rentas sempadan.
"Sukacita dimaklumkan pelanggan kini boleh berhubung dengan sahabat handai dan keluarga tersayang serta mengembangkan perniagaan ke luar negara.
"Kirimkan surat, dokumen perniagaan dan bungkusan, dan nikmati perkhidmatan yang terbaik daripada kami untuk anda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Pos Malaysia, secara keseluruhan pihaknya telah beroperasi semula ke 145 negara hingga kini.
"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan terkini melalui laman web kami di www.pos.com.my.
"Untuk sebarang pertanyaan, hubungi kami menerusi AskPos di laman web atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia," katanya. -DagangNews.com