Potensi besar kerjasama antara ITMAX, JLand disokong kepelbagaian portfolio projek, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Potensi besar kerjasama antara ITMAX, JLand disokong kepelbagaian portfolio projek, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research melihat potensi besar dalam kerjasama antara ITMAX System Bhd dan JLand Group Sdn Bhd, memandangkan portfolio projeknya yang pelbagai.

 

Perniagaan pembangunan hartanah JLand terdiri daripada 34 taman perindustrian meliputi kawasan seluas 6.8 hektar tanah dan enam perbandaran dengan keluasan 3.8 hektar daripada jumlah simpanan tanah.

 

ITMAX menerusi Southmax Sdn Bhd (SSB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan JLand bagi meneroka peluang dalam perbandaran pintar, pengurusan taman dan pengurusan kemudahan.

 

Kerjasama itu melibatkan penilaian sistem rangkaian ruang awam, menyepadukan pengurusan kemudahan di perbandaran dan taman, memajukan penyelesaian dipacu kecerdasan buatan (AI)/ Internet Kebendaan (IoT) bagi pengurusan bangunan selain meneroka peluang perniagaan strategik tambahan yang dipersetujui bersama.

 

HLIB berkata, pengembangan itu adalah pengiktirafan terhadap keupayaan dan pengalaman ITMAX dalam infrastruktur digital bersepadu.

 

Keutamaan dalam portfolio JLand ialah Ibrahim Technopolis (IBTEC) dengan keluasan hampir tiga hektar di Sedenak, yang bertujuan untuk menjadikan penanda aras global bagi perbandaran pintar dan mampan, dengan pelan pembangunan 25 tahun yang menyasarkan sektor seperti pusat data, teknologi canggih, perubatan, logistik, berasaskan pengetahuan, dan inisiatif kemampanan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Taman Teknologi Sedenak (STeP) ialah sebahagian daripada IBTEC, yang berfungsi sebagai hab untuk pertumbuhan pusat data serantau, menawarkan 22 plot tanah yang disokong oleh sumber tenaga mampan, akses gentian optik berkelajuan tinggi dan bekalan air.

 

"STeP telah menarik pemain pusat data global seperti Yondr, Keppel DC, Bridge DC dan Princeton Digital Group.

 

"Kami percaya bahawa sistem bersepadu dan penyelesaian bandar pintar buatan sendiri ini merupakan perkara yang menarik memandangkan potensi pertumbuhannya yang berbilang tahun disokong buku pesanan dan tender yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga saranan (TP) sebanyak RM2.90 sesaham. - DagangNews.com