Potensi FGV berkembang dalam industri tenusu di Malaysia - MIDF | DagangNews Skip to main content

Potensi FGV berkembang dalam industri tenusu di Malaysia - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - MIDF Research melihat prospek cerah penglibatan FGV Holdings Bhd. dalam industri tenusu di Malaysia selain memberi tumpuan kepada sektor perladangan.

 

Semalam, FGV menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) menjalin kerjasama dengan Felcra Berhad dan Baladna Food Industries Co. W.L.L (Baladna) untuk menjadikan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) menjadi salah satu hab lembah agro terkemuka di Malaysia.


 
Menurut MIDF Research, kerjasama itu akan meletakkan kedudukan FCAV yang kukuh sebagai salah satu peneraju lembah agro di Malaysia pada masa akan datang.

 

Katanya, FGVIF juga boleh mengembangankan aktiviti tenusu dengan bantuan kepakaran yang dimiliki Baladna.

 

"Secara dasarnya, FGVIF telah mempelbagaikan penglibatannya dalam industri tenusu dan pemprosesan susu, justeru ini satu peluang yang baik untuk meningkatkan potensi perniagaan tenusu di Chuping, Perlis," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

FGVIF adalah syarikat yang perniagaan utamanya terlibat dalam tanaman, padi dan beras, makanan haiwan dan protein, ternakan dan aktiviti tenusu.

 

Felcra pula adalah milik penuh Minister of Finance (Incorporated) dengan objektif untuk membangunkan penduduk di kawasan luar bandar melalui penglibatan dalam aktiviti ekonomi.

 

Baladna merupakan merupakan pengeluar tenusu dan makanan terbesar di Qatar.

 

MIDF Research menjangkakan kerjasama itu tidak memberi sebarang impak kepada pendapatan FGV bagi tahun kewangan 2021.

 

Ia mengekalkan unjuran pendapatan bagi 2021, 2022 dan 2023 masing-masing pada RM292.7 juta, RM305.6 juta dan RM306.3 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' bagi saham FGV dengan harga sasaran pada RM1.33. - DagangNews.com