Potensi PCS kepada prospek Petronas Dagangan, MIDF Research kekal saranan 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Potensi PCS kepada prospek Petronas Dagangan, MIDF Research kekal saranan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Inisiatif Petronas Dagangan Bhd. melaksanakan Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) ROVR dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat membantu meningkatkan portfolio kumpulan dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Ini membolehkan MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM20.25. 

 

Firma itu berkata, dengan menyediakan akses mudah kepada bahan api akan menyaksikan permintaan bahan api meningkat sekali gus merangsang jualan.

 

Katanya, kerjasama dengan pihak kementerian juga dilihat munasabah, dan tidak dinafikan, ia dibuat demi kepentingan terbaik Petronas Dagangan. 

 

"Walaupun, impak pandemik COVID-19 kekal sama seperti langkah sekatan yang dilaksanakan secara tiba-tiba, tetapi kami melihat prospek positif terhadap kumpulan. 

 

"Ia berikutan kerjasama di peringkat tempatan, kenaikan harga minyak dan permintaan bahan api kembali pulih di seluruh negara apabila semakin ramai orang dijangka melakukan perjalanan pada tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Isnin, Petronas Dagangan telah melancarkan perkhidmatan pengisian semula mudah alih, ROVR pertamanya untuk untuk menyediakan akses bahan api yang lebih mudah kepada penduduk Kampung Limbawang, Beaufort, Sabah.

 

PCS Mini ini direka untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan terpencil, yang terletak 10 kilometer atau lebih dari stesen minyak, sebagai sebahagian daripada Pelan Pembangunan Luar Bandar ROVR dan program dram komuniti kementerian, yang bertujuan bagi memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada keperluan asas yang mencukupi pada harga yang sama seperti di kawasan bandar.

 

Semasa fasa perintis bermula akhir November 2021,  PCS Mini dengan kapasiti 5,000 liter, yang beroperasi setiap hari mulai pukul 7 pagi hingga 7 malam, telah melayani hampir 3,500 kenderaan dan mengagihkan lebih 30,000 liter bahan api setakat ini.

 

Petronas Dagangan merancang untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak dengan tapak yang mempunyai jarah sejauh 50 kilometer dari stesen minyak terdekat. 

 

Menurut MIDF Research, PCS bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia, sebaliknya ia terbukti menyediakan potensi yang cukup besar. 

 

Jelasnya, dengan penubuhan kemudahan ini, dapat mewujudkan usahawan kecil dalam operasi PCS, peluang pekerjaan dipertingkatkan dan perniagaan lain seperti pasar mini dan bengkel kenderaan dibuka.

 

"Ini membolehkan lokasi PCS menjana aktiviti ekonomi dengan jayanya, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan untuk permintaan bahan api dalam menghadapi bencana alam," tambahnya.

 

Malah, firma itu menyifatkan, pelancaran mini PCS baru-baru ini oleh Petronas Dagangan mengesahkan lagi strategi kumpulan dalam menyediakan penyelesaian perniagaan yang kukuh di samping memenuhi keperluan masyarakat.

 

"Pendekatan ini dilihat sejajar dengan ikrar Petronas Dagangan untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan lebih baik kepada para penggunanya," katanya.

 

Dengan mengambil kira inisiatif tersebut hanya di peringkat permulaan operasi di Beaufort, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan setakat ini.

 

Setakat 2.23 petang ini, harga saham Petronas Dagangan susut 18 sen atau 0.93% kepada RM19.08 dengan 30,200 saham diniagakan. - DagangNews.com