Prasarana lantik Jamaluddin Ibrahim sebagai pengerusi, Azharuddin Mat Shah jadi CEO | DagangNews Skip to main content

Prasarana lantik Jamaluddin Ibrahim sebagai pengerusi, Azharuddin Mat Shah jadi CEO


KUALA LUMPUR 2 Julai - Prasarana Malaysia Bhd mengumumkan pucuk pimpinan syarikat yang baharu dengan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi dan Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa serentak pada 15 Julai 2021.

 

Dengan gabungan dan kerjasama rapat kedua-dua tokoh ini, Prasarana yakin misi syarikat untuk melaksanakan transformasi strategik dalam sistem pengangkutan awam negara dan memacu pertumbuhan ekonomi serta sebagai pemangkin bagi merancakkan semula sektor komersial dan perniagaan akan dapat direalisasikan.

 

"Dalam bidang operasi masa terdekat ini, tiga fokus utama bagi Jamaludin dan Azharuddin adalah penambahbaikan dan peningkatan kecekapan operasi secara menyeluruh khususnya daripada segi keselamatan dan kepercayaan operasi; meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan serta pemampanan kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jamaludin adalah Presiden dan CEO kumpulan bagi Axiata Group Bhd sebelum persaraannya di akhir 2020.

 

prasarana
Jamaluddin Ibrahim

 

Dikenali sebagai tulang belakang yang mengemudi transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada gergasi telekomunikasi yang amat disegani yang beroperasi di 11 negara ASEAN dan Asia Selatan, beliau membawa bersamanya pengalaman kerja selama lebih 40 tahun merangkumi 16 tahun di bidang teknologi maklumat, 23 tahun dalam telekomunikasi.

 

Sementara itu, pelantikan Azharuddin sebagai Presiden and CEO Prasarana pula akan memberikan sinergi dan perspektif daripada sudut pengangkutan awam, selari dengan pengalaman beliau di dalam industri pengangkutan awam darat serta udara.

 

azharuddin mat shah
Mohd Azharuddin Mat Shah

 

Terdahulu, Azharuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Transformasi, Malaysia Airlines Bhd dari 2019 hingga 2021 dan bertanggungjawab bagi porfolio merangkumi pelan transformasi jangka panjang termasuk bahagian teknologi maklumat dan digital syarikat penerbangan berkenaan. - DagangNews.com