Prestasi cemerlang segmen hiliran GENP mungkin tidak bertahan hingga 2H21 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi cemerlang segmen hiliran GENP mungkin tidak bertahan hingga 2H21 - HLIB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Genting Plantations Berhad (GENP) mungkin tidak dapat mempertahankan prestasi baik bagi segmen hiliran yang dicapainya pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) apabila memasuki separuh kedua FY21 (2HFY21). 

 

Bagi penganalisis di HLIB Research, Chye Wen Fei, ini susulan harga minyak sawit mentah (MSM) menyaksikan trend peningkatan yang stabil sejak kebelakangan ini, selain persekitaran operasi bagi sub-segmen kilang di Malaysia kekal mencabar.

 

Walaupun GENP menyaksikan kadar penggunaan yang rendah, namun segmen hiliran kumpulan berjaya mencatatkan kembali keuntungan, dipacu oleh turun dan naik harga bahan mentah terutamanya semasa Jun 2021. 

 

Ini sekaligus membolehkan GENP meraih kos suapan stok yang lebih rendah, jelas Wen Fei.

 

“Unjuran dikekalkan buat masa ini, sementara menunggu tinjauan sektor yang lebih meluas di dalam andaian harga MSM kami (cenderung untuk meningkat) selepas musim keputusan kewangan syarikat tersenarai. 

 

“Berdasarkan andaian kami, setiap peningkatan RM100/metrik tan dalam ramalan harga MSM kami akan meningkatkan unjuran keuntungan bersih utama sebanyak kira-kira 9%,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Perolehan ternormal GENP pada 1HFY21 meningkat 75% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM170.5 juta yang dipacu oleh prestasi lebih baik dalam segmen perladangan dan hartanah. 

 

HLIB Research menyemak naik saranan ke atas saham GENP daripada ‘pegang’ kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM8.61 sesaham. 

 

MIDF Research sebaliknya menyemak turun TP GENP kepada RM10.49 daripada RM11.84 selepas unjuran perolehan kumpulan dikurangkan kerana prestasi kewangan segmen huluan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Firma itu menyemak turun unjuran perolehan GENP pada FY21 dan FY22, masing-masing sebanyak 19.5% kepada RM321.4 juta dan 3.9% kepada RM337.3 juta.

 

“Kami berpendapat harga MSM ketika ini dapat menyokong momentum pertumbuhan perolehan kumpulan. Kami juga menjangkakan pemulihan dalam kadar hasil buah sawit segar (FFB) pada FY21 kerana peningkatan kawasan penuaian, profil umur pokok yang lebih baik - di mana kadar hasil FFB akan meningkat kerana pokok akan matang tidak lama lagi selain aktiviti penanaman semula. 

 

“Dalam pada itu, kami juga menjangkakan segmen hartanah akan terus mencatatkan prestasi lebih baik dipacu oleh aktiviti ekonomi yang beroperasi semula, hasil daripada kadar vaksinasi yang pantas di Malaysia. 

 

“Mengambil kira semua itu, kami menjangkakan faktor-faktor ini akan menyokong momentum perolehan yang sihat oleh kumpulan dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang,” kata firma itu. 

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham GENP. - DagangNews.com