Prestasi cemerlang Tan Chong Motor diiktiraf Anugerah Global Nissan 2023 | DagangNews Skip to main content

Prestasi cemerlang Tan Chong Motor diiktiraf Anugerah Global Nissan 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Tan Chong & Sons Motor Company Sdn Bhd, pemegang francais Nissan di Malaysia sejak 1957 memperoleh pengiktirafan berprestij sebagai pemenang Anugerah Global Nissan, berikutan prestasi terbaik syarikat itu sepanjang tempoh fiskal 2022.

 

Program Anugerah Global Nissan diadakan untuk mengiktiraf usaha dan pencapaian Pengimport dan Syarikat Jualan Nasional (NSC) dalam bidang jualan dan selepas jualan.

 

Tan Chong & Sons Motor Company melalui cawangan jualan dan pemasarannya, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dinilai sebagai syarikat terbaik antara 19 pasaran yang layak, mencatatkan prestasi cemerlang dalam jumlah jualan keseluruhan, bahagian pasaran dan aktiviti perkhidmatan pelanggan, berkongsi pencapaian bersama Tan Chong Motor Sales Pte Ltd dari Singapura.

 

Selain pencapaian dalam jualan, jualan selepas ETCM juga dinilai berprestasi tinggi dalam perkhidmatannya dan merupakan pemenang dalam kategori selepas jualan di dalam rantau ini, mencatatkan kecemerlangan dalam bidang alat ganti dan aksesori, prestasi perkhidmatan, logistik, dan perkhidmatan pelanggan.

 

Naib Presiden NIBU-ASEAN Nissan Motor Asia Pacific Co Ltd, Yoshinori Kanazawa berkata, walaupun menghadapi cabaran kekurangan bekalan pengeluaran dan dinamik pasaran yang bergelora sepanjang 2022, pasukan Tan Chong Motor menunjukkan kecemerlangan dalam mengharungi kesusahan. 

 

"Justeru, penyampaian Anugerah Global Nissan 2023 kepada Tan Chong Motor merupakan tanda penghormatan ke atas prestasi cemerlang mereka sebagai pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Nisan di Malaysia sepanjang tahun fiskal 2022," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor, Christopher Tan pula berkata, jenama Nissan di Malaysia sinonim dengan Tan Chong. 

 

 

nissan

 

 

"Sebagai rakan kongsi perniagaan selama lebih 60 tahun, Anugerah Global Nissan 2023 kami terima dengan rasa bangga dan rendah hati. Komitmen kami untuk menyediakan produk menarik dan perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan tidak pernah goyah dan anugerah tersebut membuktikan kerja keras dan dedikasi yang berasal daripada hari setiap ahli organisasi kami.

 

"Kami berdiri bersama Nissan dalam menyokong misi mereka untuk mendorong inovasi yang memperkayakan kehidupan orang ramai. Kedai Flagship 3S Nissan yang kami lancarkan baru-baru ini di Petaling Jaya, Selangor bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, manakala rangkaian ETCM yang lain juga sedang dalam proses pengubahan mengikut Konsep Runcit Nissan terkini," katanya.

 

 

nissan

 

 

Tan Chong & Sons Motor membuka bilik pameran Nissan (dahulunya Datsun) pertamanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada tahun 1957. 

 

Kini, rangkaian ETCM merangkumi 39 cawangan dan 19 outlet pengedar untuk perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Semenanjung Malaysia, serta Labuan, Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com