Prestasi Daiboci diyakini terus stabil - MIDF | DagangNews Skip to main content

Prestasi Daiboci diyakini terus stabil - MIDF

Daiboci Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mac. - Prestasi syarikat pengeluar produk dan perkhidmatan perindustrian, Daiboci Berhad (Daiboci) diyakini terus stabil meskipun berdepan dengan cabaran tertentu.

 

MIDF Research berkata, ia turut dinilai kepada permintaan dan inisiatif pengembangan syarikat berkenaan.

 

"Walaupun situasi pasaran agak lemah dan ketidaktentuan politik di Myanmar yang pastinya memberi cabaran kepada kumpulan tersebut, kami tetap yakin bahawa prestasi kumpulan itu akan terus stabil.

 

"Ia didorong oleh permintaan yang tertangguh bagi produk pembungkusan plastik fleksibel (FPP) yang digunakan dalam segmen F&B dan FMCG.

 

"Selain itu, ia turut dinilai kepada peningkatan dalam produk baharu dalam industri F&B dan FMCG serta inisiatif pengembangan kapasiti yang berterusan," jelas MIDF Research.

 

Dalam sesi taklimat maya bersama pihak Daiboci semalam, MIDF Research memberitahu, syarikat berkenaan mencatatkan pendapatan sebanyak 8.9% tahun ke tahun kepada RM27.9 juta pada separuh pertama 2021.

 

Bagaimanapun, keuntungan operasi sedikit merosot -22.1% tahun ke tahun kepada RM16.5 juta.

 

MIDF Research berkata, ia disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah dan kenaikan pembiayaan penghantaran akibat daripada kekurangan kontena penghantaran global.

 

Mengulas berkaitan isu operasi di Myanmar, MIDF Research memberitahu, syarikat berkenaan memaklumkan telah menghentikan operasi selama lapan hari akibat aktiviti tunjuk perasaan di negara berkenaan.

 

Dalam pada itu, penutupan pelabuhan turut melambatkan aktiviti import dan eksport.

 

Sehubungan itu, syarikat berkenaan akan mendapatkan bekalan bahan mentah secara dalaman dan memenuhi permintaan pelanggan di sana.

 

Operasi Daiboci di Myanmar menyumbang kira-kira 5% kepada jumlah pendapatan kumpulan pada separuh pertama tahun kewangan 2021. - DagangNews.com