Prestasi ESG lebih baik, peluang beli saham perbankan - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi ESG lebih baik, peluang beli saham perbankan - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - Institusi kewangan dilihat semakin menitikberatkan penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan RHB Bank Bhd. menunjukkan skor yang tinggi dalam kalangan bank di bawah liputan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan berikutan peningkatan trajektori skor ESG. 

 

"Dengan prestasi sektor ESG yang lebih baik dan penilaian di bawah permintaan, kami percaya ini adalah peluang untuk membeli saham perbankan," jelas penganalisisnya, Chan Jit Hoong dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, beliau melihat komitmen bank-bank di bawah liputannya terhadap ESG semakin berkembang dengan baik termasuklah Affin Bank Bhd., Alliance Bank Malaysia Bhd., CIMB Group Holdings Bhd. dan RHB.

 

Ketika ini, katanya, Maybank dan RHB berada di tempat pertama dari segi gred ESG dengan skor 3.8 mata(daripada 5) manakala Alliance Bank Malaysia Bhd. kekal di tangga paling bawah dengan 2.3 mata.

 

"Yang pertama cemerlang dalam alam sekitar dan tadbir urus manakala kedua masih lagi lemah dalam semua kategori ESG (tetapi semakin mengorak langkah untuk meningkatkan penarafannya)," katanya. 

 

Pada 2020, Affin menyaksikan peningkatan gred ESG paling ketara pada 1.1 mata didorong amalan dari segi sosial (peningkatan penyertaan wanita di peringkat pengurusan) dan tadbir urus (lebih banyak penyertaan dan lembaga pengarah bebas).

 

"Sebaliknya, Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) pula mengalami penurunan paling ketara sebanyak 0.8 mata disebabkan markah yang lebih rendah dari segi sosial (berikutan kompositi kedudukan pengarah wanita, usaha kebajikan dan pembangunan kakitangan) dan tadbir urus (kadar kehadiran mesyuarat lembaga pengarah yang menurun)," katanya.

 

Firma itu memberi saranan 'beli' terhadap Maybank, Public Bank Bhd., RHB, BIMB dan Affin dengan harga sasaran masing-masing pada RM9.40, RM4.50, RM7, RM3.45 dan RM2.25. - DagangNews.com