Prestasi FY2021 Pentamaster mengecewakan, AmInvestment semak turun sahamnya kepada 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Prestasi FY2021 Pentamaster mengecewakan, AmInvestment semak turun sahamnya kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan saham Pentamaster Corp. Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'beli' sebelum ini dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada RM3.24 sesaham. 

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY2022) sebanyak 21% manakala 16% bagi FY2023 berikutan anggaran jualan yang lebih konservatif. 

 

"Keuntungan teras Pentamaster bagi FY2021 sebanyak RM72.5 juta adalah mengecewakan, merangkumi 23% di bawah anggaran awal kami sebelum ini dan 12% lebih rendah daripada konsensus. 

 

"Walaupun kumpulan merekodkan kenaikan 21% pendapatan kepada RM508.39 juta tetapi keuntungan selepas cukai hanya meningkat 2.5% tahun ke tahun terutamanya disebabkan margin keuntungan kasar yang lebih rendah di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bahan mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih kumpulan jatuh 10.95% kepada RM19.65 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM22.07 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan meningkat 11.13% kepada RM122.49 juta daripada RM110.22 juta bagi tempoh sama 2020.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), untung bersihnya meningkat 2.52% kepada RM72.67 juta daripada RM70.89 juta manakala pendapatan juga meningkat 21.4% kepada RM508.39 juta daripada RM418.77 juta.

 

Menurut AmInvestment, prospek Pentamaster akan terus didorong oleh usaha kumpulan mempelbagaikan portfolio merentasi segmen pasaran dan mengembangkan asas pelanggannya.

 

Selain itu, katanya, pertumbuhan penyelesaian automasi kilang (FAS) disokong dengan pelaksanaan industri 4.0 dan kedudukannya yang strategik untuk meraih pertumbuhan kukuh dalam pasaran utama kenderaan elektrik seperti Jepun. 

 

"Kami terus menyukai saham kumpulan ini, tetapi percaya sahamnya dinilai secara adil pada harga semasa," katanya.

 

Setakat 12.13 tengah hari ini, harga saham Pentamaster kekal tidak berubah pada RM3.57 dengan 1.74 juta saham diniagakan. - DagangNews.com