Prestasi kewangan 30 syarikat besar pada Q1 tertinggi dalam sejarah | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan 30 syarikat besar pada Q1 tertinggi dalam sejarah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Jumlah perolehan terlaras yang dicatatkan oleh 30 syarikat terbesar dari segi permodalan pasaran di FBM KLCI melonjak lebih tinggi kepada RM19.4 biliion pada suku pertama 2021 (1Q21). 

 

Menurut MIDF Research, ini merupakan angka tertinggi pernah dicatatkan terutamanya dipacu oleh prestasi cemerlang dalam kalangan kaunter penjagaan kesihatan iaitu sarung tangan yang menyaksikan pertumbuhan perolehan 917.2% berbanding tahun lalu.

 

“Perolehan terkumpul dicatatkan oleh 30 konstituen FBM KLCI melonjak lebih tinggi kepada RM20.3 bilion pada 1Q21. Ini pertumbuhan positif pada kadar 32.9% bagi perbandingan suku ke suku (q-o-q) dan tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 167.4%.

 

“Angka perolehan terkumpul itu memerlukan beberapa pengubahsuaian supaya jumlah pertumbuhan berbanding suku dan tahun sebelumnya mencerminkan gambaran yang lebih adil mengenai penanda aras prestasi pendapatan.

 

“Sehubungan itu, perolehan terkumpul 1Q21 yang dilaraskan bagi FBM KLCI 30 konstituen (setelah menyesuaikan dengan item bukan operasi, terutamanya keuntungan dari pemisahan Touch 'n Go Digital berjumlah RM1.2 bilion oleh CIMB Group) berjumlah RM19. 4 bilion,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

Sementara itu, peratusan syarikat tersenarai dalam MIDFR Universe yang mencatatkan perolehan di bawah unjuran MIDF meningkat 29% pada suku tahun sama, berbanding 21% bagi suku tahun sebelumnya. 

 

Peratusan syarikat yang mencatatkan perolehan amat positif juga menyusut 22% daripada 37% pada suku tahun sebelumnya, ujar MIDF.

 

Tambah firma penyelidikan itu, sektor pembinaan, penjagaan kesihatan, perladangan, hartanah, telekomunikasi dan media serta pengangkutan dan logistik berjaya mencatatkan jumlah perolehan yang bertambah baik. 

 

Perkhidmatan kewangan sebaliknya menjadi satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan negatif bagi kedua-dua perbandingan suku dan tahunan, terutamanya disebabkan oleh penyelesaian tuntutan dan rosot nilai yang perlu ditanggung AMMB Holdings Berhad.

 

Di peringkat sektor pembinaan, kesemua syarikat di bawah tinjauan MIDF rata-ratanya mencatatkan prestasi yang lebih rendah daripada jangkaan, dengan lima daripada lapan syarikat berprestasi rendah bagi suku tahun berkenaan.

 

Kata MIDF, ini terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari hingga 4 Mac 2021.

 

Dalam pada itu, syarikat-syarikat di dalam sektor kewangan (perbankan), perindustrian, hartanah, telekomunikasi, pengangkutan dan utiliti, masing-masing mencatatkan prestasi kewangan yang bercampur-campur. 

 

Jika dibandingkan dengan suku keempat 2020 (4Q20), ujar MIDF, terdapat penyusutan sedikit dari segi jumlah syarikat yang berprestasi tinggi, manakala jumlah syarikat berprestasi lebih rendah daripada jangkaan merudum dengan ketara. 

 

Sehubungan itu, MIDF menyemak naik unjuran perolehan terkumpul yang bakal dicatatkan oleh syarikat-syarikat tersenarai di FBM KLCI, peningkatan 7.1% kepada RM65.7 bilion bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Semak naik lebih tinggi itu terutamanya dipacu oleh sektor penjagaan kesihatan iaitu pemain industri sarung tangan dan kewangan, melibatkan pemain industri perbankan selain saham-saham perladangan.

 

“Setelah mengambil kira ketidaktentuan di kedua-dua faktor dalaman (risiko kelewatan sasaran vaksinasi negara) dan luaran (risiko monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat), kami memilih untuk menurunkan julat sasaran, seterusnya mengekalkan unjuran FBM KLCI bagi hujung tahun ini pada 1,700 mata,” kata MIDF lagi. - DagangNews.com