Prestasi kewangan suku ketiga Pavilion REIT dijangka lemah - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan suku ketiga Pavilion REIT dijangka lemah - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Prestasi kewangan Pavilion REIT dijangka lemah pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) ekoran kes COVID-19 harian yang masih tinggi ketika ini. 

 

Pada tahun kewangan semasa, sebanyak 20% daripada portfolio kawasan yang disewakan Pavilion REIT dijangka tamat tempoh, menurut penganalisis di Kenanga Research, Marie Vaz.

 

“Bagaimanapun, kami masih lagi optimis bahawa situasi itu akan bertambah baik menjelang 4QFY21 dengan kadar vaksinasi harian yang tinggi dan FY22 juga akan menjadi tahun lonjakan semula buat amanah pelaburan hartanah (REIT) gadai janji runcit,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Pavilion REIT mencatatkan pendapatan bersih yang diperolehi bernilai RM51.7 juta, dan mengisytiharkan dividen sebanyak 1.83 sen. 

 

Pendapatan itu dilihat lebih rendah daripada ramalan konsensus, di mana mungkin disebabkan oleh pendapatan pemberian sewa pada 2QFY21 yang lebih lemah daripada jangkaan ekoran penguatkuasaan ‘lockdown’.

 

Sementara penganalisis di MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng melihat prospek bagi pusat beli-belah di kawasan Lembah Klang terus mencabar susulan lonjakan semula kes COVID-19 yang memberi impak kepada kehadiran pengunjung.

 

Sehubungan itu, beliau menyemak turun unjuran perolehan bagi FY21 dan FY22 untuk Pavilion REIT, masing-masing sebanyak -22.2% dan -12.1% memandangkan perolehan amanah pelaburan hartanah itu pada suku tahun hadapan dijangka lemah.

 

“Ekoran daripada semak turun dalam perolehan itu, kami menyemak semula harga sasaran (TP) untuk Pavilion REIT kepada RM1.32 daripada RM1.38.

 

“Kami terus melihat prospek yang suram buat Pavilion REIT dalam masa terdekat ini kerana perolehannya dijangka diheret turun oleh ‘lockdown’ penuh dan kes COVID-19 yang kian meningkat.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Pavilion REIT,” katanya.

 

Menurut AmInvestment Bank, pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur (Pavilion KL) hanya mencatatkan 10% daripada jumlah kehadiran pengunjung sebelum pandemik COVID-19 pada 2QFY21. 

 

Sementara pusat beli-belah Pavilion REIT di kawasan subbandar seperti Intermark Mall dan Da Men Mall mencatatkan prestasi lebih baik dengan 25% hingga 30% daripada jumlah kehadiran pengunjung sebelum COVID-19, disumbangkan oleh peratusan perkhidmatan perlu yang lebih tinggi.

 

Kadar penghunian di pusat beli-belah Pavilion KL menyusut sedikit kepada 93.9% bagi suku tahun berkenaan daripada 96.4% pada 2QFY20, terutamanya disebabkan oleh beberapa penyewa yang tidak memperbaharui penyewaan mereka. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ saham Pavilion REIT dengan nilai wajaran dikurangkan kepada RM1.50 daripada RM1.59 berdasarkan sasaran kadar hasil agihan FY23 sebanyak 5%.

 

“Kami percaya prospek jangka panjang Pavilion REIT kekal positif setelah mengambil kira aset penting dan strategik kumpulan yang terletak di tengah-tengah ibu negara Malaysia, dipacu oleh kelebihan daya saing berbanding pesaingnya.

 

“Ini menyediakan platform baik buat jenama antarabangsa baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran Malaysia, seterusnya menyokong permintaan bagi ruang runcit di pusat beli-belah,” jelas AmInvest. - DagangNews.com