Prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan, harga sasaran MRCB disemak lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan, harga sasaran MRCB disemak lebih rendah

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Firma penyelidikan menjangkakan Malaysian Resources Corp. Bhd. akan terus mencatat kerugian memandangkan prospek kumpulan masih diselubungi ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19. 

 

Ini berdasarkan kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, yang menyaksikan pendapatannya menyusut 34 peratus kepada RM590.3 juta manakala kerugian sebelum cukai pula berjumlah RM62.6 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM190.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pada Jumaat, MRCB berkata, pendapatan lebih rendah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan PKP penuh yang mengakibatkan penutupan tapak pembinaan antara Jun hingga Ogos 2021, tempoh lebih lama berbanding 2020, yang kemudiannya disusuli dengan gangguan rantaian bekalan bahan binaan.

 

Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri berkata, walaupun kemajuan kerja-kerja pembinaan dijangka dipercepatkan apabila memasuki tahun hadapan, tetapi pelaksanaannya masih bergantung kepada situasi semasa pandemik dan juga rantaian bekalan bahan binaan.

 

Keadaan ini katanya, mungkin melemahkan prospek pendapatan dalam tempoh terdekat dan sederhana memandangkan pembayaran kemajuan pembinaan akan terjejas berikutan perkembangan kerja yang perlahan.

 

"Bagi segmen hartanah, kami berpendapat jualan mungkin akan terus memberangsangkan dengan jualan belum dibilkan yang agak besar kira-kira RM1 bilion meskipun pemulihan dijangka terjejas dengan mengambil kira sentimen pengguna yang lemah dan mereka mungkin menangguhkan sebarang pembelian besar dalam tempoh yang boleh dijangka.

 

"Namun begitu, dalam jangka masa panjang, prospek kumpulan masih kekal disokong nilai projek belum dibilkan berjumlah RM19.9 bilion yang menyediakan pendapatan jangka panjang kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, setelah mengambil kira semua faktor dan prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan, firma itu menyemak turun penarafan MRCB kepada 'neutral' daripada 'trading buy' dengan harga sasaran (TP) juga disemak lebih rendah kepada 36 sen daripada sebelum itu, 42 sen. 

 

Ia juga menyemak semula anggaran pendapatan kumpulan yang mencerminkan penilaian terkini terhadap MRCB.

 

"Kami menyemak turun anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada RM816 juta manakala anggaran hasil kepada -RM45.2 juta," jelasnya. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, prestasi kewangan MRCB yang kurang memuaskan dan berada di bawah jangkaannya buat kali keenam.

 

Katanya, meskipun sudah mengambil kira faktor PKPD, kerugian yang direkodkan menerusi segmen pembinaan adalah lebih melebar berbanding jangkaan manakala segmen hartanah pula lemah disebabkan pendapatan yang rendah. 

 

"MRCB juga menanggung cukai walaupun kerugiannya yang menyimpang berbanding unjuran cukai kami yang positif," katanya.

 

Beliau menjangkakan kerugian bersih kumpulan bagi FY21 akan terus melebar kepada RM75 juta berbanding RM29 juta sebelum itu manakala pendapatan bagi FY22 juga disemak rendah sebanyak 43% kepada RM27.9 juta.

 

"Semakan semula ini dibuat setelah mengambil kira pengurangan margin berikutan struktur kos yang tinggi membabitkan segmen hartanah dan pembinaan mengehadkan pendapatan berikutan kurangnya pemangkin," tambahnya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'market perform' dengan dengan TP disemak rendah kepada 34.5 sen daripada 40.5 sen. 

 

Setakat 10.06 pagi ini, harga saham MRCB susut 0.05 sen atau 1.43% kepada 34.5 sen dengan 2.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com