Prestasi kurang memuaskan, unjuran pendapatan MSM disemak rendah  | DagangNews Skip to main content

Prestasi kurang memuaskan, unjuran pendapatan MSM disemak rendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Meskipun MSM Malaysia Holdings Bhd. kembali mencatat untung pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, namun ia berada di bawah jangkaan penganalisis. 

 

Keuntungan bersih yang direkodkan pada suku terbabit meningkat 162.5% kepada RM13.47 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM21.55 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Pendapatan untuk suku dikaji mengukuh sebanyak 23.5% kepada RM554.10 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, RM448.74 juta.

 

Secara keseluruhan, MSM merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM44.65 juta pada separuh pertama 2021, peningkatan sebanyak 179.4% berbanding kerugian bersih RM56.26 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan lebih rendah bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023 dengan masing-masing kepada -17.6%, -10.9% dan -5% kepada RM140.2 juta, RM163.3 juta dan RM182.6 juta ekoran prestasi kewangan yang tersasar daripada jangkaan penganalisis pada suku berkenaan. 

 

"Kami juga menyemak turun harga sasaran MSM kepada RM1.74 berbanding RM1.96 dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2022 ditambat pada 23.2 sen kepada sasaran PER tidak berubah 7.5x yang berada dalam julat 7-13x bagi segmen pengguna," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MSM setelah melihat prestasi kumpulan bagi separuh pertama yang mencatatkan peningkatan berterusan.

 

Katanya, pasaran eksport dijangka terus meningkat pada masa akan datang, tetapi prestasi kewangan kumpulan akan terjejas menerusi segmen borong. 

 

"Namun, kami mengekalkan pandangan prestasi kewangan akan bertambah baik secara berperingkat-peringkat bagi tahun kewangan 2021 disokong kos pengeluaran, volum dan premium yang tinggi," tambahnya.

 

MSM dalam kenyataan semalam, bagi tempoh separuh pertama, kumpulan menghadapi beberapa insiden yang memberikan kesan kepada pengeluaran.

 

Pertama, penutupan sementara MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd antara 30 Mac sehingga 26 Mei bagi kerja-kerja penambahbaikan yang terancang.

 

Kedua, penutupan sementara operasi MSM Prai Bhd (MSM Prai) seperti yang diarah oleh Kementerian Kesihatan antara 8 hingga 15 Jun bagi membolehkan proses sanitasi secara besar-besaran dijalankan di dalam premis berikutan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, meskipun penutupan itu menyebabkan jumlah penghasilan produk nilai tambah untuk tujuan eksport berkurang termasuk gula cair, pra-campur dan sirap halus, namun pendapatan bagi eksport gula bertapis meningkat sejajar dengan pertambahan 60% dalam jualan susulan pembukaan semula sempadan.

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, MSM mampu merekodkan jumlah jualan borong yang kukuh di sebalik penutupan kilang kerana ia mengimport 28,000 tan metrik gula bertapis dan mempunyai hampir sebulan inventori.

 

Katanya, penggunaan gula bertapis yang diimport menyebabkan kenaikan kos operasi sebanyak 11% suku ke suku dan margin keuntungan lebih rendah.

 

"Kami yakin MSM akan merekodkan keuntungan lebih kukuh pada separuh kedua ini, dipacu oleh harga purata jualan (AS), jumlah jualan dan kos penapisan yang rendah.

 

"Bagi segmen borong pula, MSM sebelum ini menyatakan ia sepatutnya mencapai ASP lebih tinggi hampir RM2,690 satu tan metrik harga siling yang ditetapkan kerajaan termasuk dari jumlah di peringkat domestik yang kukuh, sejajar dengan permintaan semakin pulih apabila sekatan pergerakan dilonggarkan," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun mengurangkan EPS bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 dengan mengambil kira segmen eksport yang lemah. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham MSM dengan harga sasaran pada RM1.69. 

 

Setakat 10.35 pagi ini, harga saham MSM menokok 3 sen kepada RM1.47 dengan 2.7 juta saham diniagakan. - DagangNews.com