Prestasi luaran Malaysia diyakini bertambah baik pada Q3 dan Q4 2023 – pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Prestasi luaran Malaysia diyakini bertambah baik pada Q3 dan Q4 2023 – pakar ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Prestasi sektor luaran Malaysia akan lebih positif pada suku ketiga dan keempat tahun ini berbanding suku kedua tahun ini, didorong oleh beberapa faktor termasuklah sumbangan penggunaan swasta, dasar monetari yang membantu dan kadar inflasi pada paras yang kompetitif, kata pakar ekonomi.

 

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan ekonomi Malaysia berkembang 2.9% pada suku kedua 2023, dimana ia mencecah paras terendah dalam hampir dua tahun disebabkan oleh eksport yang merosot dan kelembapan global dan sekali gus memberi amaran bahawa pertumbuhan setahun penuh akan datang pada hujung yang lebih rendah daripada ramalan sebelumnya.

 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata dengan keyakinan pengembangan ekonomi China serta faktor domestik yang menyokong pertumbuhan, prestasi sektor luaran Malaysia akan lebih positif pada dua suku terakhir.


 

Muhammad Ridhuan Bos Abdullah
                     Muhammad Ridhuan Bos Abdullah

 


"Antara faktor domestik yang akan membantu ekonomi negara termasuklah peningkatan penggunaan dan kadar faedah yang kompetitif boleh memberi kesan kepada pelaburan hartanah serta pengumuman kerajaan dengan insentif pembelian rumah pertama boleh merancakkan sektor perkhidmatan dan pembinaan.

 

"Di samping itu, keputusan kerajaan untuk menyokong kenaikan gaji dan upah penjawat awam memberi suntikan kepada penggunaan domestik serta sentimen serantau yang semakin baik, terutamanya apabila ekonomi Indonesia telah menunjukkan peningkatan lebih 5% pada suku kedua turut memberi keyakinan kepada perniagaan dan pengeksport," beliau memberitahu DagangNews.

 

Mengulas mengenai prestasi KDNK pada suku kedua, Muhammad Ridhuan berkata ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan ekonomi secara berperingkat rakan dagang utama Malaysia menyebabkan sektor luaran negara meningkat minimum pada Q2 2023.

 

"Kuasa ekonomi besar seperti China baru menggiatkan pemulihan ekonomi yang lebih serius pada awal setengah tahun kedua tahun ini, manakala Rizab Persekutuan Amerika Syarikat baru sahaja meredakan potensi pelabur pasaran modal dengan memberi jaminan tidak ada kenaikan kadar faedah dalam jangka masa terdekat," jelas beliau lagi.

 

Menyentuh mengenai kadar tukaran mata wang ringgit, pensyarah itu berkata dasar penyelarasan antarabangsa dengan menggalakkan pengeksport menggunakan ringgit mungkin mengambil masa untuk memberi impak kepada KDNK negara.

 

"Justeru, pembuat dasar masih ada peluang lagi untuk membantu perkembangan ekonomi dengan dasar pengembangan (expansionary)," katanya lagi.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menjelaskan Jumaat lepas bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku itu sebahagiannya disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan susulan kitaran teknologi global, pengeluaran komoditi lebih rendah dan kesan asas lebih tinggi dari suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 8.9%.

 

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.6% pada suku pertama 2023, menjadikan pertumbuhan purata bagi separuh pertama tahun ini pada 4.25%.

 

Berasaskan pelarasan bermusim suku ke suku, ekonomi negara berkembang 1.5% (suku pertama 2023: 0.9%).


 

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour
                         Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

 


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia kekal di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK di antara 4.0 dengan 5.0 peratus tahun ini, dipacu pemulihan berterusan pasaran buruh, pelaksanaan projek serta peningkatan kegiatan pelancongan.

 

Kelebihan kejatuhan ringgit memberi kesan kepada pertumbuhan sub-sektor pelancongan, namun demikian, sektor yang memberi nilai ditambah dalam ekonomi seperti sektor pembuatan menunjukkan peningkatan yang minimal, ujar Muhammad Ridhuan.

 

"Pengembangan pelaburan seperti syarikat Infineon mungkin mengambil masa untuk merancakkan pertumbuhan dalam sub-sektor elektrik dan elektronik (E&E) malahan beberapa pengeluar besar cip E&E antarabangsa telah mengurangkan inventori mereka walaupun berlaku peningkatan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus memberi kesan kepada pasaran E&Es bagi pengeluar teknologi di Malaysia," jelas beliau lagi. – DagangNews.com