Prestasi memberangsangkan, Pelabuhan Tanjung Pelepas dijangka catat pertumbuhan 2 digit tahun ini | DagangNews Skip to main content

Prestasi memberangsangkan, Pelabuhan Tanjung Pelepas dijangka catat pertumbuhan 2 digit tahun ini

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dijangka mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi tahun 2021.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, jangkaan itu dibuat dengan menilai kepada prestasi memberangsangkan yang ditonjolkan pelabuhan berkenaan.

 

Menurutnya, PTP bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 turut merekodkan pertumbuhan dua digit selain pertumbuhan 8.5% pada tahun lalu.

 

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong 

 

"Saya ada keyakinan bahawa tahun ini, kadar pertumbuhan PTP dijangka lebih baik. 

 

"Kalau tahun lalu PTP mengendalikan 9.8 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dan tahun ini mampu hampir ke 11 juta TEU.

 

"Satu peningkatan dua digit yang kita bakal saksikan menjelang hujung tahun ini," jelasnya seperti dilapor Sinar Harian.

 

Bagi rekod, PTP mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi di dunia berdasarkan senarai 20 pelabuhan terkemuka dunia tahun lalu.

 

Pencapaian itu sekali gus membantu mengubah kedudukan ke 18 PTP kepada kedudukan 15 dalam senarai pelabuhan terbaik di dunia.

 

Pertumbuhan tersebut berjaya dicapai meskipun berdepan dengan pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata, prestasi tersebut merupakan satu pencapaian yang mengagumkan apabila PTP menjadi satu pelabuhan yang berkembang maju dengan kadar pertumbuhan tertinggi tahun lalu. - DagangNews.com