Prestasi Pasaran Saham Tempatan Dijangka Meningkat Pada Suku Tahun Kedua -  Penganalis | DagangNews Skip to main content

Prestasi Pasaran Saham Tempatan Dijangka Meningkat Pada Suku Tahun Kedua -  Penganalis

Ekuiti global mempamerkan kenaikan selepas jualan teruk baru-baru ini.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 25 Feb –  Walaupun terdapat pelbagai cabaran dan yang terbaru krisis antara Ukraine dan Rusia, pasaran saham tempatan dijangka mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada suku kedua tahun (Q2) tahun ini dengan penanda aras utamanya, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin mencecah 1,710 pada hujung tahun 2022.

 

Ahli Profesional Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA), Anisah Ozleen Othman berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 20 Januari lalu untuk  mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% adalah paras terendah sejak Julai 2020 menyokong permintaan dalam negeri.

 

“Sokongan ini akan membantu pertumbuhan ekonomi dalam negeri seterusnya melonjak kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tahun ini,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Anisah Ozleen yang juga seorang remisier berkata demikian ketika mengulas tentang prestasi pasaran saham tempatan semasa.

 

Memandangkan ekuiti global mempamerkan kenaikan selepas jualan teruk baru-baru ini, beliau berkata, indeks KLCI mula rancak mencatat pertumbuhan kepada paras tertinggi 1614.82 (17 Feb) mengatasi paras tertinggi 1613.35 (Okt 2021).

 

Antara sub sektor yang rancak diniagakan termasuk perladangan, makanan & minuman, hartanah dan semi-konduktor.

 

Anisah Ozleen berkata, paras halangan 1,630 dan zon sokongan 1,570 dan 1,530 harus diberi perhatian.

 

Mengulas tentang kejatuhan saham komoditi pada awal tahun ini, beliau berkata, saham komoditi minyak sawit mentah menjunam sebahagian besarnya disebabkan untuk kontrak roll-over.

 

Roll-over bermaksud pemindahan kecairan dari satu kontrak yang mahu berakhir ke kontrak seterusnya.  Ia berlaku apabila tarikh tamat tempoh kontrak dilanjutkan.


 

Anisah Ozleen Othman
                                            Anisah Ozleen Othman

 

 

“Jangkaan penurunan harga ini bertepatan dengan corak pergerakan lemah harga. Penurunan harga mungkin ditarik ke arah zon sokongan yang lebih rendah RM5,350 dan RM5,185, “ ujar Anisah Ozleen.

 

Mengenai tawaran awam permulaan (IPO), beliau berkata, ia kekal menggalakkan kerana pasaran modal ekuiti menyediakan syarikat akses kepada dana untuk pertumbuhan dan pemulihan daripada kesan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.

 

Sebagai contoh, Anisah Ozleen berkata, IPO bagi syarikat penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan, SIAB HOLDINGS yang bakal disenaraikan di papan Bursa dengan harga 0.30 seunit pada 28 Feb, masih kekal.

 

Sementara itu, katanya berikutan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), para pelabur semakin yakin dengan pasaran tempatan.

 

“ESG kini digunakan untuk menjelaskan tanggungjawab syarikat dalam menilai prestasi kemampanan berdasarkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya,’’ tambah beliau. DagangNews.com