Prestasi Petron Malaysia bagi 1QFY23 melebihi jangkaan, Kenanga Research naikkan unjuran untung bersih bagi FY23-24 | DagangNews Skip to main content

Prestasi Petron Malaysia bagi 1QFY23 melebihi jangkaan, Kenanga Research naikkan unjuran untung bersih bagi FY23-24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 26% dan 7%.

 

Ini adalah bagi mencerminkan andaian yang lebih tinggi untuk harga minyak dan jumlah jualan.

 

Firma penyelidikan itu berkata keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) kumpulan menjangkaui jangkaan firma, membentuk 49% daripada ramalan setahun penuhnya.

 

Peningkatan tersebut telah didorong oleh jumlah jualan manakala kedudukan lindung nilai yang menggalakkan telah mengimbangi penguncupan dalam harga minyak.

 

 

BACA: Untung bersih Petron Malaysia meningkat kepada RM108.7 juta bagi 1QFY23 didorong jumlah jualan lebih tinggi

 

 

“Walaupun harga minyak di rantau ini telah melantun semula daripada paras terendah sejak November 2022, ia tidak mungkin kembali pada paras tertinggi baru-baru ini,” katanya dalam nota hari ini.

 

Tambahnya, dagangan hadapan harga minyak secara konsisten berada di bawah paras kemuncaknya yang dilihat pada Mei hingga Jun 2022.

 

Menurut firma itu Petron Malaysia disukainya memandangkan ia menjadi salah satu daripada dua syarikat penapisan tersenarai di Bursa Malaysia yang bertindak sebagai proksi kepada harga minyak di rantau ini.

 

“Bagaimanapun, dengan harga minyak yang lebih lemah daripada kemuncaknya awal tahun lepas, kami tetap berhati-hati dengan prospek pendapatan jangka pendeknya,” tambahnya.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran dinaikkan (TP) dinaikkan kepada RM4.65 sesaham daripada RM4.35.

 

Setakat pukul 4:55 petang hari ini, saham Petron telah menokok 5 sen atau 1.1% kepada RM4.55, memberinya permodalan pasaran berjumlah RM1.2 bilion. -DagangNews.com