Prestasi projek ECRL laluan Dungun - Mentakab melebihi sasaran | DagangNews Skip to main content

Prestasi projek ECRL laluan Dungun - Mentakab melebihi sasaran

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Prestasi atau tahap kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi Seksyen B menjangkaui sasaran awal. 

 

 

Seksyen B yang melibatkan laluan dari Dungun, Terengganu ke Mentakab, Pahang telah mencapai 7.03% tahap kemajuan setakat akhir Disember tahun lalu.

 

Ini melebihi dua mata peratusan daripada sasaran dalam jadual asal, 5.11%. 

 

Pencapaian itu merupakan hasil daripada kerja-kerja pembinaan yang pantas di 94 lokasi dengan 58 daripadanya di Pahang, manakala selebihnya di Terengganu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

 

“Fokus utama kerja-kerja pembinaan dilakukan di sepanjang laluan utama Seksyen B sejauh 223 kilometer (km) termasuk kerja-kerja tanah, longkang pasang siap menegak (PVD), kerja-kerja pembentungan, terowong dan jambatan.

 

“Kerja-kerja penggalian untuk ‘Terowong Kuantan’ sepanjang 2.86km, yang mana sebahagian daripada Seksyen B, telah mencapai 950 meter atau 33.5% daripada jarak keseluruhan,” ujarnya menurut laporan Bernama. 

 

Walaupun terdapat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan ke atas negeri itu, namun kerja-kerja pembinaan dijangka berjalan dengan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP).

 

“Selaras dengan cadangan daripada pihak berkuasa, pekerja juga telah dibahagikan kepada kumpulan. 

 

“Amalan ini akan memastikan projek ini dapat diteruskan, jika ada mana-mana kumpulan yang dikehendaki menjalani kuarantin,” katanya lanjut.

 

Bagi kawasan yang mudah dilanda banjir, Norolazali menjelaskan bahawa pihaknya telah mengenal pastinya, di bawah laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). 

 

Dalam masa sama, pereka infrastruktur landasan itu juga telah mengambil kira paras banjir bagi tempoh 100 tahun, pada reka bentuk mereka.

 

Ujarnya, kesemua kawasan mudah banjir yang akan menjadi laluan ECRL telah direka jejambat bagi membantu aliran air, terutamanya ketika musim monsun bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan akibat hujan lebat atau banjir. - DagangNews.com