Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara mungkin terjejas akibat penularan wabak COVID-19 seperti negara-negara lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, prestasi SDG 2020 berbeza dengan apa yang dicapai pada 2019.
"Secara keseluruhannya pretasi SDG negara pada tahun 2019 bertambah baik berdasarkan 17 matlamat yang ditetapkan namun bagi tahun ini prestasi tersebut mungkin terjejas akibat COVID-19 seperti mana negara-negara lain.
"Kemajuan SDG di negara ini diukur berdasarkan pencapaian 108 petunjuk statistik.
"Di antara perkara yang menunjukkan kemajuan pencapaian positif adalah di bawah dimensi kemajuan masyarakat di mana peratusan isi rumah yang hidup di bawah paras kemiskinan nasional telah bertambah baik kepada 5.6% pada tahun 2019 berbanding 7.6% pada tahun 2016," katanya dalam ucapan pelancaran Laporan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Indikator Malaysia 2019 hari ini.
Dalam majlis yang sama, beliau turut merasmikan Webinar Pembangunan Lestari dan Harapan Masa Depan dan 2030 Agenda: Bridging the Nations for a Better Global Sustainability.
SDG mempunyai 17 matlamat yang bertunjangkan kepada lima dimensi iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama.
Matlamat tersebut diukur berdasarkan 247 indikator yang ditetapkan diperingkat global pada tahun 2019.
Di Malaysia, daripada jumlah indikator tersebut, sebanyak 128 indikator atau 52% telah tersedia manakala 73 indikator atau 29% perlu dibangunkan.
Dalam pada itu, sebanyak 13% atau 31 indikator data tidak tersedia dan 15 indikator atau 6% tidak relevan dengan Malaysia.
Dalam aspek KDNK per kapita, dimensi kemakmuran menunjukkan KDNK per kapita pada harga malar bertumbuh 3.9% pada 2019 berbanding 3.6% pada tahun 2018.
Jelas beliau lagi, peratusan individu yang menggunakan internet meningkat 3.0 mata peratusan kepada 84.2% pada tahun 2019 berbanding 81.2% pada tahun sebelumnya.
Penggunaan internet di bandar dan luar bandar juga masing-masing turut meningkat 2.6 mata peratusan dan 3.3 mata peratusan.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengingatkan seluruh penduduk bagi menunaikan tanggungjawab untuk dibanci melalui e-census.
"Banci Penduduk dan Perumahan 2020 secara dalam talian telah dilanjutkan sehingga 21 Disember ini.
"Jangan tunggu sehingga saat akhir untuk mengisi borang banci. Lakukan sekarang kerana data anda adalah masa depan kita," tambah beliau. - DagangNews.com