Prestasi suku pertama Axiata di bawah jangkaan, Maybank IB semak turun unjuran untung bersih bagi FY23-25 | DagangNews Skip to main content

Prestasi suku pertama Axiata di bawah jangkaan, Maybank IB semak turun unjuran untung bersih bagi FY23-25

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Prestasi Axiata Group Berhad dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) adalah di bawah jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan teras RM83 juta kumpulan pada 1QFY23 hanya merangkumi anggaran tahun penuhnya pada 10% dan konsensus sebanyak 7% dan pendapatan yang menurun selepas penggabungan lebih tajam daripada jangkaan.

 

Susulan prestasi yang lemah itu, firma itu menurunkan ramalan keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 24%, 2% dan 4% dengan mengambil kira prestasi kewangan terkini dan mencerminkan kemas kini ramalannya terhadap CelcomDigi.

 

“Berbanding unjuran keuntungan bersih kami, terdapat kelemahan meluas di seluruh syarikat-syarikat operasi dan CelcomDigi, dengan hanya Ncell dan Smart memenuhi jangkaan kami,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas lanjut, Maybank IB berkata semua syarikat operasi kecuali Dialog mencatatkan EBITDA yang lebih rendah secara berurutan pada 1QFY23.

 

Linknet, terutamanya, terus menghadapi pergolakan pelanggan di samping menanggung pemasaran yang lebih tinggi serta susut nilai dan pelunasan, manakala Dialog mengalami tekanan kos disebabkan kenaikan tarif elektrik.

 

Firma itu berkata keputusan CelcomDigi meleset dari jangkaan kerana susut nilai dan pelunasan lebih tinggi daripada jangkaan.

 

“Namun begitu, kami berpendapat bahawa pendapatan yang mengecewakan dalam FY23 sudah diambil kira dan dengan pengurusan menumpukan kepada pembaikan kunci kira-kira dan terbuka kepada pengewangan aset, ganjaran risiko kekal positif secara keseluruhan,” tambahnya.

 

Firma itu menjangkakan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) akan bertambah baik secara berurutan merentas kebanyakan syarikat operasi Axiata pada suku-suku mendatang, manakala dividen sesaham (DPS) 10 sen kekal berdaya maju untuk FY23.

 

Maybank IB mengekalkan saranan beli dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM3.50 sesaham daripada RM3.70.

 

Saham Axiata setakat pukul 10:15 pagi ini telah menyusut 8 sen atau 2.7% kepada RM2.88 dengan modal pasaran bernilai RM26.4 bilion. -DagangNews.com