Principal perkenal siri dana aset bercampur patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Principal perkenal siri dana aset bercampur patuh syariah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Principal Asset Management Berhad (Principal) telah memperkenalkan Principal Islamic Global Selection Series (Islamic Global Series), dengan tiga dana aset bercampur patuh syariah yang diatur khas berdasarkan profil risiko pelabur.

 

Dana-dana individu tersebut iaitu, Principal Islamic Global Selection Moderate Conservative Fund; Principal Islamic Global Selection Moderate Fund; dan Principal Islamic Global Selection Aggressive Fund, bertujuan memberikan pulangan modal jangka panjang dan pendapatan melalui pelaburan ke pasaran global dalam julat risiko sasaran setiap dana.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Principal, Munirah Khairuddin, Islamic Global Series akan membolehkan pelanggan mempelbagaikan pelaburan ke dalam kelas-kelas aset yang patuh syariah untuk pulangan berdasarkan kelas risiko terbaik, sementara memanfaatkan kepakaran yang ditawarkan oleh pengurus dana di seluruh dunia.

 

Munirah Khairuddin
Munirah Khairuddin

 

“Dalam tempoh yang tidak menentu seperti sekarang, dana patuh syariah mampu memberikan pulangan yang stabil dan tekal. Ini terbukti sewaktu wabak SARS pada tahun 2003 dan krisis kewangan global 2008 hingga 2009.

 

“Sementara kita terus memberi penekanan tentang pendidikan dan penyelesaian yang berkesan, Principal menggambarkan konsep kepelbagaian melalui analogi kotak coklat di mana setiap coklat itu berbeza kepekatannya; semakin tinggi kandungan coklat asli, semakin agresif portfolio dana tersebut.

 

“Dengan permintaan yang meningkat untuk pelaburan patuh syariah dalam waktu yang tidak menentu akibat pandemik ini, Principal cekal memikirkan bagaimana kami mampu memperhalusi pengalaman para pelabur. Seperti rasa coklat yang berbeza, pelabur mampu memilih antara tiga dana tersebut yang mempunyai portfolio yang berbeza, dalam memenuhi profil risiko mereka yang berbeza rasa tetapi pastinya setiap dana memberikan peluang pelaburan patuh syariah yang holistik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad telah dilantik sebagai bank pengedar eksklusif untuk Islamic Global Series bagi tempoh enam bulan.

 

Pelanggan CIMB yang berminat untuk melabur ke dalam Islamic Global Series atau dana amanah lain yang ditawarkan melalui CIMB, boleh melakukan sedemikian dengan mudah iaitu menerusi dalam talian melalui CIMB Clicks, atau dengan melawat mana-mana cawangan bank berkenaan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta berkata, CIMB berbesar hati untuk menjadi bank pengedar eksklusif Islamic Global Series, dan menambahkan lagi senarai produk mereka yang menawarkan penyelesaian pelaburan persendirian hari ini.

 

Samir Gupta

 

“Sebagai aset bercampur Islamik pertama yang ditawarkan di bawah senarai produk untuk pelabur persendirian, Islamic Global Series juga mampu menarik minat pelabur ke dalam pelaburan patuh syariah yang semakin meningkat.

 

“Kami juga telah memastikan proses pelaburan adalah selamat dan lancar, terutamanya dalam situasi pandemik ini, dengan membolehkan pelabur melabur secara digital melalui CIMB Clicks. Kami berhasrat untuk terus menawarkan lebih banyak produk pelaburan dan penyelesaian seperti Islamic Global Series di masa akan datang,” katanya.

 

Principal Islamic Global Selection Moderate Conservative Fund, Principal Islamic Global Selection Moderate Fund, dan Principal Islamic Global Selection Aggressive masing-masing akan diurus di antara julat risiko 3% ke 5%, 6% ke 9% dan 10%, setahun.

 

Dengan peruntukan aset yang membayangkan sasaran risiko, setiap dana akan menawarkan pembayaran dividen dan pendapatan yang berlainan.

 

Direka sebagai dana pendapatan dan pertumbuhan, sebanyak 20% Nilai Aset Bersih (NAV) setiap dana akan dilaburkan ke dalam sukuk gred bukan pelaburan.

 

Penyertaan minimum untuk pembukaan pelaburan untuk kelas MYR diletakkan pada RM500 sebagai pelaburan pembukaan dan pelaburan minimum tambahan ialah RM50.

 

Untuk kelas USD pula, minimum untuk pembukaan pelaburan ialah diletakkan pada AS$1,000 dan pelaburan minimum tambahan ialah AS$100. - DagangNews.com