KUALA LUMPUR 16 Mac - Principal Financial Group hari ini mengumumkan pelantikan tiga pegawainya bagi memimpin perniagaan mereka di rantau ASEAN.
Menerusi pengumuman itu, Uday Jayaram dilantik sebagai Ketua Asia Tenggara dan Pengarah Urusan Eksekutif; Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif francais Principal Islamic dan Munirah Khairuddin sebagai Ketua Negara, Prinsipal Malaysia.
Pelantikan itu menyaksikan, Uday akan menyelia keseluruhan operasi rantau ini bagi memacu pertumbuhan syarikat selain menyelaras strategi perniagaan selain menguruskan kakitangan bagi mengukuhkan keupayaan syarikat.
Syed Mashafuddin akan bertindak sebagai penasihat dan pemacu utama di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat dalam inisiatif strategik berkaitan syariah termasuk pengurusan perhubungan pelanggan dan mengukuhkan hubungan bersama CIMB, pihak industri dan rakan-rakan strategik.
Beliau juga akan bertanggungjawab ke atas segmen perniagaan syariah secara menyeluruh dengan kerjasama semua Ketua Pegawai Eksekutif Principal di negara-negara Asia Tenggara dan Asia Barat.
Sementara itu, Munirah akan bertanggungjawab dalam memacu kedua-dua perniagaan konvensional dan patuh syariah di Malaysia secara menyeluruh.
Presiden Principal Asia, Thomas Cheong berkata, barisan kepemimpinan itu akan menumpukan usaha untuk mengembang serta mengukuhkan operasi syarikat di rantau itu.
“Saya amat teruja untuk mengiktiraf tiga orang pemimpin yang berpengalaman besar dalam menguruskan perniagaan Asia Tenggara kami serta memajukan misi Principal untuk membantu orang ramai mencapai kesejahteraan kewangan,” katanya.
Principal turut mengumumkan persaraan Juan Eyzaguirre selaku Ketua Pegawai Eksekutif–Asia Tenggara pada 1 April 2022 selepas 12 tahun berkhidmat bersama dengan menjawat pelbagai jawatan di peringkat global namun akan terus berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah Principal Asset Management (Malaysia) dan kekal sebagai seorang penasihat sehingga 30 Jun 2022.
Cheong berkata, Eyzaguirre merupakan individu penting dalam meningkatkan perniagaan Principal di pasaran baharu yang sedang membangun dan berjaya membawa kejayaan kepada syarikat di rantau itu dengan tumpuan khusus kepada strategi digital serta khidmat pelanggan.
"Kami berterima kasih di atas kepemimpinannya dan akan terus mendapatkan nasihatnya sebagai ahli Lembaga Pengarah Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com