Privasia menerusi Konsortium Apex-Privasat raih 2 kontrak RM1.2 bilion daripada K-Komm | DagangNews Skip to main content

Privasia menerusi Konsortium Apex-Privasat raih 2 kontrak RM1.2 bilion daripada K-Komm

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Okt - Privasia Technology Bhd melalui Konsortium Apex-Privasat telah memperoleh dua kontrak bernilai kolektif kira-kira RM1.2 bilion daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-Komm).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat ICT itu berkata, K-Komm pada 6 Okt lepas telah mengeluarkan surat penerimaan tender yang ditawarkan oleh Konsortium Apex-Privasat.

 

Usaha sama itu adalah antara Apex Communications Sdn Bhd dan Privasat Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Privasia.

 

Kontrak yang ditandatangani oleh Konsortium Apex-Privasat memerlukan pemasangan gentian optik dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik di sekitar sekolah, kediaman, perniagaan, komersial dan premis industri di bawah Fasa 2 pengembangan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah titik kehadiran (PoP). 

 

Kontrak itu akan meliputi wilayah Selatan (Negeri Sembilan, Melaka & Johor) dan wilayah Utara (Kedah dan Perak) dan masing-masing bernilai RM627.18 juta dan RM617.51 ​​juta.

 

Tempoh kontrak adalah selama 96 bulan, di mana pelaksanaannya hendaklah diselesaikan dalam 36 bulan dan diikuti dengan tempoh jaminan selama 60 bulan.

 

“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, dan aset bersih Privasia bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 dan seterusnya.

 

"Walaupun begitu, kontrak itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Privasia,” kata Privasia. - DagangNews.com