GEORGETOWN 27 Jun - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan esok, selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi tadi.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menghadap Yang di-Pertua Negeri di kediaman rasmi Seri Mutiara di sini pada jam 8 pagi.
"Saya telah mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri untuk menandatangani proklamasi membubarkan DUN Pulau Pinang bagi membuka jalan pilihan raya negeri (PRN) yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah semua negeri membubarkan DUN masing-masing.
"Jadi saya berasa lega (proses) ini berakhir jadi kita boleh bergerak ke hadapan untuk melakukan persediaan PRN," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninggalkan perkarangan Seri Mutiara pada jam 8.33 pagi.
Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP negeri dijadual akan mengadakan sidang media bersama barisan ADUN Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada jam 2.30 petang ini.
Selain Pulau Pinang lima lagi negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN dalam tempoh terdekat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat, PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.
Tempoh mandat lima tahun DUN Pulau Pinang sepatutnya masih berbaki sehingga 2 Ogos 2023 bermula tarikh persidangan pertama diadakan pada 3 Ogos 2018 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.
PH memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang termasuk kerusi daripada calon Bersatu yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH pada PRU14.
Barisan Nasional (BN) menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala PAS mempunyai satu kerusi, Penaga, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, empat ADUN Bersatu iaitu wakil Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam digugurkan dari DUN Pulau Pinang selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan mengikut undang-undang antilompat parti. - DagangNews.com