Program CGPP dijangka wujudkan peluang pekerjaan EPCC bernilai sehingga RM1.6 bilion, kata Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Program CGPP dijangka wujudkan peluang pekerjaan EPCC bernilai sehingga RM1.6 bilion, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Affin Hwang Capital (Affin Hwang) mengunjurkan kemajuan inisiatif peralihan tenaga negara akan mempengaruhi secara positif sentimen dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Katanya, bagi jangka pendek, anugerah kontrak Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) akan datang dijangka mewujudkan RM1.4 bilion hingga RM1.6 bilion peluang pekerjaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

"Sementara itu, pelaksanaan akses pihak ketiga (TPA) pada September 2024 dijangka menggalakkan pelaburan dalam aset RE dan berpotensi memberikan penilaian semula kepada sektor itu.

 

"Projek solar berskala besar 5 (LSS5) 2.0 gigawatt (2GW) sedang dalam peringkat permintaan untuk penyerahan cadangan, dan program itu akan menyediakan industri dengan keterlihatan buku pesanan tambahan sehingga 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, suku kedua dan ketiga tahun ini  dilihat sebagai tempoh peralihan sebelum kontrak CGPP mengisi semula buku pesanan industri.

 

"Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd telah menyiapkan kebanyakan projek LSS4 mereka, manakala dua projek Sunview Group Bhd hampir tamat pembinaannya.

 

"Kami menjangkakan pengebilan dan pendapatan bagi suku tersebut sama ada mendatar atau lemah sedikit secara berurutan," katanya.

 

Affin Hwang berkata, majoriti pengebilan kemajuan CGPP dijangka diiktiraf menjelang akhir tempoh pembinaan pada 2025.

 

Selain itu, katanya, pemotongan pengeluaran di Asia Tenggara tidak akan menjejaskan kontraktor EPCC solar fotovoltaik (PV) tempatan dengan ketara kerana mereka kebanyakannya mendapatkan panel solar mereka dari China, di mana harganya lebih menjimatkan.

 

Affin Hwang memberikan saranan 'overweight' terhadap sektor itu dan menjangkakan peralihan tenaga yang dipercepatkan akan memberi kesan positif kepada industri solar tempatan secara keseluruhan.

 

Firma penyelidikan itu memilih Solarvest sebagai pilihan utama dalam sektor itu sektor itu kerana kerana kedudukannya dalam mendapatkan projek solar berskala besar dan kapasiti daripada inisiatif kerajaan, ditambah pula dengan rekod prestasinya yang terbukti sebagai pemaju dalam industri. - DagangNews.com