KUALA LUMPUR 13 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Eksplorasi Sains membabitkan tiga buah sekolah rendah di daerah Chenor, Pahang pada 11 dan 12 Februari lalu.
Program dianjurkan sebagai inisiatif untuk mencetuskan rasa minat belajar bidang sains sekaligus membangkitkan kesedaran kepada murid sekolah tentang kepentingan bidang sains dalam kehidupan seharian dan juga masa hadapan negara.
Program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Bota melibatkan penyertaan seramai 150 murid tahap dua daripada tiga buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bota, SK Bukit Lada dan SK Sekara.
Program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu ini diadakan bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan serta kemahiran pelajar sekolah rendah yang berkonsepkan “belajar sambil bermain” bagi menarik minat serta memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan bidang sains.
Program ini berjaya dikendalikan dengan lancar melalui penglibatan barisan fasilitator dari kalangan 24 orang ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM yang melaksanakan pelbagai aktiviti dan permainan berbentuk eksperimen sains.
Antara modul menarik yang dilaksanakan ialah, Egg Parachute, Miracle Star, Explorace dan Roket Ke Hati.
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Mohd Ariffin Ab Rahman menzahirkan penghargaan kepada UPM atas inisiatif turun padang bagi membantu meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah murid sekaligus memperkasa minat murid terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof. Madya Dr Omrah Hassan @Hussin turut mengingatkan semua murid bahawa pelbagai aktiviti permainan dan eksperimen yang telah dilaksanakan boleh dijadikan platform untuk menambahkan pengetahuan serta kemahiran di samping boleh mendorong kepada penciptaan pelbagai inovasi dalam bidang sains.
Bagi pelajar UPM, penganjuran program seperti ini selari dengan sasaran matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025 serta matlamat pendidikan, iaitu melahirkan graduan bitara yang holsistik, ihsan, patriotisme dan berdaya tahan.
Melalui program ini pelajar dapat turun padang untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan motto UPM, “Berilmu Berbakti”.
Inisiatif PKPP ini juga seiring dengan rukun ihsan masyarakat Madani, iaitu mengambil peduli dan membantu anggota masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembentukan negara Madani yang diidamkan. - DagangNews.com