Program Food Bank Petronas diperluas ke lebih 400 stesen minyak | DagangNews Skip to main content

Program Food Bank Petronas diperluas ke lebih 400 stesen minyak


KUALA LUMPUR 24 Julai - Petronas Dagangan Bhd (PDB) merancang untuk memperluas Program Food Banknya dengan membabitkan lebih daripada 400 stesen Petronas di seluruh negara bagi memberi bantuan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

PDB yang merupakan cabang pemasaran syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memperuntukkan bekalan makanan bernilai RM600,000 bagi meningkatkan program tersebut supaya dapat disalurkan kepada  lebih banyak penerima  dan mereka yang memerlukannya.

 

Sarikat itu berkata, penerima dan mereka yang memilih untuk menyumbang secara terus boleh mencari stesen yang terlibat dalam program tersebut menerusi ciriciri baharu yang disediakan dalam aplikasi mudah alih e-wallet Petronas, Setel. 

 

"Pengguna aplikasi itu juga boleh memilih untuk membeli pek food bank daripada kenderaan mereka melalui ciri Deliver2Me ketika berada di stesen, manakala orang ramai juga boleh menyumbang secara dalam talian dari rumah mereka sendiri.

 

"Ahli Mesra boleh menebus dan menukar mata ganjaran mereka kepada pek food bank menerusi aplikasi Setel sementara pek food bank juga boleh dibeli terus daripada www.petronasmerchandise.com," kata PDB.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata syarikat itu tidak meraih keuntungan daripada sumbangan yang dibuat oleh orang ramai. 

 

"Kami juga bekerjasama erat dengan syarikat berkaitan kerajaan yang lain, rakan perniagaan kami dan dalam kumpulan Petronas untuk meluaskan lagi bantuan dan impak yang lebih besar.

 

"Ini adalah permulaan yang menggalakkan, dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak maklumat terkini mengenai inisiatif ini," katanya. - DagangNews.com