Program Ibu Nakhoda Hidup 2023 kutip sumbangan lebih RM90,000 bagi bantu usahawan wanita | DagangNews Skip to main content

Program Ibu Nakhoda Hidup 2023 kutip sumbangan lebih RM90,000 bagi bantu usahawan wanita

Sebanyak enam usahawan wanita luar biasa telah dipilih sebagai peserta program Ibu Nakhoda Hidup 2023. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - WOMEN:girls dengan kerjasama Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Singapura, dan MYDIN Mohamed Holdings Bhd mengumumkan kejayaan program Ibu Nakhoda Hidup 2023. 

 

Ia merupakan bukti kecemerlangan dan komitmen organisasi-organisasi ternama ini dalam usaha memajukan dan memperkasa usahawan wanita, terutamanya dalam menaiktaraf ekonomi mereka di seluruh negara.

 

Dilancarkan pada 2015, program Ibu Nakhoda Hidup diperkenalkan untuk memacu pemerkasaan, menyediakan ibu usahawan yang berdaya saing dengan kelengkapan dan ilmu pengetahuan, dan keyakinan yang utuh untuk terus melangkah jauh di tengah-tengah landskap perniagaan yang sentiasa berkembang pesat. 

 

Inisiatif ini juga mampu meningkatkan taraf hidup keluarga mereka dan komuniti setempat.

 

Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, Izza Izelan berkata, kerjasama ini mencerminkan kejayaan dalam usaha pembangunan mampan, dan pihaknya amat berbesar hati untuk memberi nafas baharu kepada kerjasama dengan P&G dan MYDIN dengan melancarkan semula program Ibu Nakhoda Hidup, selepas berehat selama dua tahun sejak dilanda pandemik. 

 

"Program ini juga membuktikan kesedaran moral yang tinggi dalam kalangan rakan kongsi yang kami dihormati. Di WOMEN:girls, kami memahami bahawa memperkasa ibu usahawan bukan sahaja bermaksud memperkasa komuniti, bahkan ia sepatutnya menyumbang ke arah pertumbuhan masa hadapan generasi akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Inisiatif Ibu Nakhoda Hidup ditunjangi Tabung ‘Hulurkan Harapan’, tabung yang mempunyai matlamat untuk mendukung inisiatif sosial oleh P&G dan MYDIN, sedekad yang lalu, serta diiktiraf P&G. 

 

 

nakhoda

 

 

 

Bermula Mei hingga Jun tahun ini, setiap pembelian produk P&G bernilai RM10 dari mana-mana pasar raya MYDIN dan karnival bergerak, 5 sen akan disumbangkan kepada tabung bermakna ini. 

 

Sejak itu, sebanyak RM95,000 telah terkumpul. Melalui kutipan ini, setiap ibu usahawan dibantu dengan kelengkapan mengikut keperluan masing-masing, sama ada dalam bentuk barangan, perkhidmatan atau keperluan asas bagi menyokong perniagaan mereka.

 

Setelah penilaian teliti dilakukan terhadap 104 yang ditemu bual di pelbagai lokasi, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kelantan, Sabah, dan Sarawak, enam ibu usahawan luar biasa telah dipilih sebagai peserta program untuk tahun ini.

 

Program Ibu Nakhoda Hidup 2023 sekali lagi melambangkan dedikasi tidak berbelah bahagi WOMEN:girls, P&G, dan MYDIN, menyerlahkan keazaman ketiga-tiga organisasi untuk memperkasa usahawan wanita, menyemarakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak yang berkekalan dalam masyarakat Malaysia. 

 

Daripada penjual aiskrim sehingga guru muzik, inisiatif ini telah membantu 25 ibu usahawan di Malaysia, menangani cabaran untuk membina perniagaan dan meningkatkan kehidupan keluarga dan komuniti mereka. - DagangNews.com