KUALA LUMPUR 20 Jan - Duopharma Biotech Bhd. memperkukuh budaya etika dan meneruskan pencapaian tadbir urus pada 2022 dengan program integriti dan antirasuah baharu untuk sekutu perniagaan luar di samping mencapai penanda aras baharu industri.
Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, antara inisiatif yang diperkenalkan adalah program integriti dan antirasuah untuk semua sekutu perniagaan utama.
“Ini termasuk ejen kami, selain menjalankan semakan awal menerusi penilaian data dan dokumen bagi setiap entiti yang kami ingin membentuk hubungan perniagaan baharu dengan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kemajuan yang dicatatkan itu adalah sejajar dengan penekanan syarikat terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tadbir urus menjadi antara bidang utama, dengan Duopharma Biotech terus berusaha untuk mencapai standard yang lebih tinggi.
Syarikat itu menjelaskan ejennya dikategorikan sebagai sekutu perniagaan luar dan dikehendaki mendaftar dalam program itu yang merangkumi siri modul integriti dan antirasuah berpandukan keperluan berkaitan Akta SPRM 2009.
Malah, amalan baiknya telah meraih beberapa anugerah terkemuka, termasuk diiktiraf oleh Institut Etika Perniagaan Malaysia (BEIM) dengan Anugerah Etika Emas ‘Five Petals’ untuk penggal kedua berturut-turut pada 2022.
Anugerah BEIM itu adalah tahap pengiktirafan tertinggi untuk etika organisasi dan komitmen integriti yang ditunjukkan oleh mana-mana ahli BEIM yang sentiasa menambah baik dasar dan prosedurnya selaras dengan piawaian yang diperlukan. - DagangNews.com