(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum dan Ketua Pegawai Operasi myTukar, Jeffrey Ong.
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Mac. - Pengendali platform jualan kenderaan terpakai dalam talian, myTukar Sdn. Bhd. (myTukar) melancarkan Program Perantis myTukar dengan kerjasama Kolej Otomotif TOC.
Program yang berlangsung selama 12 bulan itu akan menjadi penanda aras industri untuk pembangunan generasi profesional automotif akan datang dengan kebolehan berteknologi untuk Malaysia dan Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum berkata, program tersebut adalah visi pihaknya untuk membangunkan kumpulan tenaga kerja profesional automotif dengan kebolehan berteknologi yang lestari dan relevan dalam industri automotif yang pantas serta dinamik.
"Kami saling percaya dalam perkongsian yang akan memberi faedah dan sangat gembira pakar pendidikan automotif bertaraf global mahu bekerjasama dengan kami dalam pembangunan Program Perantis myTukar.
"Kami amat percaya TOC adalah rakan kongsi terbaik bagi Program Perantis myTukar kerana kepakaran mereka dalam pengambilan dan latihan yang sepadan dengan pelan pembesaran pesat myTukar.
"Kami yakin usaha bersama ini akan menghasilkan peluang-peluang pekerjaan untuk kumpulan juruteknik automotif berpengalaman dan berkemahiran di Malaysia dan Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan empat kemasukan setiap tahun, Program Perantis myTukar dijangka akan menghasilkan 100 ke 120 perantis berjaya dalam setahun.
Selepas menamatkan Kursus Pembantu Juruteknik Automotif selama tiga bulan di TOC, para perantis akan meneruskan latihan praktikal selama sembilan bulan di myTukar dan pusat pemeriksaan Carro.
Modul yang disesuaikan oleh TOC membolehkan peralihan yang lancar kepada pekerjaan tetap di myTukar dan Kumpulan Carro selepas program selesai.
Perantis-perantis yang berjaya akan dijamin laluan kerjaya dalam myTukar di Malaysia atau tugasan-tugasan di wilayah-wilayah Asia Tenggara di dalam Kumpulan Carro.
Dalam Program Perantis myTukar, TOC akan berperanan dalam pembangunan dan penghasilan modul kursus, pengambilan pelajar-pelajar ke dalam program, menemuduga, menyenarai-pendek dan memantau pelajar-pelajar di samping membantu penempatan perantis-perantis serta menguruskan prestasi mereka selama latihan amali untuk sembilan bulan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif TOC, Datuk Iqmal Shafiq berkata, menjadi impian TOC untuk menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk yakin akan peluang-peluang pekerjaan tanpa batasan serta kejayaan juruteknik automotif dan menarik perhatian golongan profesional automotif untuk mempercayai sumbangan positif mereka kepada masyarakat.
"Rakan-rakan industri adalah penting dalam mencapai impian kerana kami mahu memperkasakan graduan-graduan kami dengan sikap yang betul, kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pengiktirafan dan kejayaan global.
"Sebagai platform jualan kenderaan Malaysia atas talian yang paling cepat berkembang, myTukar ialah majikan ideal untuk para graduan mengasah kemahiran mereka di tempat kerja dengan kebolehan berteknologi," ujar beliau.
Pelajar di bawah Program Perantis myTukar akan dibayar elaun latihan praktikal sebanyak RM1,200 sebulan dan selepas tamat pengajian selain graduan Program Perantis myTukar dijamin pekerjaan bersama myTukar atau pejabat-pejabat Kumpulan Carro di Asia Tenggara dengan gaji minimum RM1,800 ke atas.
Pembayaran yuran kursus akan dilakukan melalui potongan gaji setiap bulan.
Kemasukan seterusnya Program Perantis myTukar ialah dalam bulan April 2021. - DagangNews.com