Program Road2Growth MTDC tingkat penggunaan teknologi dalam perniagaan | DagangNews Skip to main content

Program Road2Growth MTDC tingkat penggunaan teknologi dalam perniagaan

BUTTERWOTH 23 Mei - Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) komited meningkatkan pembangunan teknologi dalam perniagaan melalui program Road2Growth 2022 (R2G) dan kerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.

 

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknologi MTDC, Mohammad Farish Nizar Othman berkata, program itu telah dilaksanakan di Kota Kinabalu dan Kuching pada 21 serta 23 Mac 2022 dan kini diteruskan dengan lokasi ketiga bagi meluaskan capaiannya ke wilayah utara.

 

“Peserta terdiri daripada graduan, penyelidik, usahawan mikro, kecil dan sederhana  serta syarikat pemula dan pengendalian jelajah pada tahun ini lebih ke arah perkongsian produk serta solusi teknologi tempatan oleh syarikat ekosistem MTDC.

 

“Penggunaan teknologi sudah terbukti boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan menambah pendapatan syarikat,” katanya pada sidang media selepas melawat pameran oleh lapan syarikat ekosistem MTDC di bawah program R2G hari ini, lapor Bernama.

 

Graduan  yang menghadiri program ini boleh mendapat manfaat daripada Industri 4.0 dan pendigitalan sekali gus menaik taraf kualiti bakat tempatan serta menjadi nilai tambah kepada kualiti pembelajaran untuk kegunaan masa depan mereka.

 

Mengenai lapan syarikat ekosistem MTDC yang mempamerkan produk dan servis mereka pada  program hari ini, katanya mereka terdiri daripada syarikat yang berkecimpung dalam teknologi bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti berperantara dan teknologi dron.

 

Syarikat itu juga merupakan ahli komuniti Center of 9 Pillars (Co9P), iaitu objektifnya untuk mengumpulkan syarikat Industri 4.0 di Malaysia untuk mereka bekerjasama.

 

“MTDC juga ingin membangunkan rangkaian Co9P ini di luar Lembah Klang, iaitu di Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu dan Pulau Pinang. Kami turut menjemput usahawan tempatan untuk menjadi rakan niaga Co9P.

 

“Dengan rangkaian hab ini, usahawan IKS berpeluang untuk bekerjasama dan meluaskan rangkaian perniagaan untuk meningkatkan solusi dan teknologi yang dapat diguna pakai dalam perniagaan mereka,” katanya. - DagangNews.com