KUALA LUMPUR 15 Julai - Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang diselia Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) diperluaskan ke Kampung Kesapang Tengah, Kota Belud, meliputi lebih 175 hektar kawasan tanaman.
Usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen bersama bagi memajukan agenda keterjaminan makanan negara.
Melalui program ini, BERNAS mengumumkan penambahan empat buah mesin baharu yang boleh digunakan oleh peserta SMART SBB Kota Belud dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini.
Ini menjadikan sumbangan keseluruhan syarikat kepada sembilan mesin dan dua set peralatan pertanian bernilai RM1 juta.
Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan meningkatkan tahap sara diri beras (SSL) di Sabah, memperkasakan petani dengan pengetahuan dan teknologi yang mampu memaksimumkan hasil tanaman padi dan pendapatan petani.
Adlin Mohd, 50, seorang petani dan peserta program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS yang berjaya dari Kg. Jawi-Jawi, Kota Belud berkata, program ini telah memperkenalkan beliau dengan kaedah penanaman padi yang lebih produktif dan memberi hasil tuaian yang lebih konsisten.
"Program ini juga sangat membantu saya dalam menangani cabaran berkaitan pengurusan sawah sebelum ini. Saya menggalakan lebih ramai pesawah untuk menyertai program ini dan merasai kejayaan yang sama seperti saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS bermula sebagai projek rintis di Kota Belud pada Jun 2022 bertujuan untuk menyumbang secara langsung kepada SSL beras tempatan di negeri Sabah.
Sebagai salah satu rakan strategik didalam perlaksanaan SMART SBB Ala Sekinchan, BERNAS turut menyediakan sokongan kepada para pesawah yang mengambil bahagian di dalam program ini termasuklah pengurusan ladang, jentera pertanian dan latihan serta modal pendahuluan untuk menampung kos operasi.
Ini selaras dengan dedikasi syarikat untuk meningkatkan taraf hidup komuniti pesawah di dalam negara.
Buat masa ini, sejumlah 81 pesawah telah menyertai program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS di 10 lokasi di Kota Belud.
Terdapat peningkatan hasil padi sebanyak 1.6 tan metrik setiap hektar atau 62% di kawasan Jawi-Jawi iaitu daripada 2.6 tan metrik kepada 4.2 tan metrik sehektar, peningkatan signifikan kepada pendapatan petani.
Sejak diperkenalkan, program SMART SBB Ala Sekinchan yang merupakan kerjasama strategik di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, BERNAS dan rakan kongsi kini mencakupi lebih 1,904 hektar kawasan penanaman di 10 negeri, memberi manfaat kepada lebih 735 petani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang merasmikan projek itu pada Sabtu berkata, Program SMART SBB ini mengoptimumkan penggunaan tanah dan mengamalkan amalan pertanian terbaik untuk meningkatkan pengeluaran beras domestik seperti di Sekinchan, Selangor yang telah terbukti berjaya.
“Kejayaan program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS membuktikan komitmen Kementerian dalam mencapai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, terutamanya dalam subsektor beras, sentiasa mencukupi dan mampan,” katanya. - DagangNews.com