Projek Daunan Worldwide diiktiraf sebagai pembangunan bandar sejahtera terbaik | DagangNews Skip to main content

Projek Daunan Worldwide diiktiraf sebagai pembangunan bandar sejahtera terbaik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Konglomerat terkemuka Selangor, Worldwide Holdings Bhd (WHB), melalui bahagian Worldwide Property merangkul anugerah Pembangunan Bandar Sejahtera Terbaik bagi projek Daunan Worldwide di majlis Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2023/2024, anjuran Des Prix Infinitus Media bagi meraikan kecemerlangan sektor hartanah di seluruh Asia Tenggara. 

 

Ketua Pegawai Operasi Worldwide Property, Sr. Hamyzar Toha menerima anugerah tersebut bagi pihak WHB semasa majlis Makan Malam Gala Anugerah yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya. 

 

Dilancarkan pada 2019, Daunan Worldwide merupakan penerima "Anugerah Merit Pelan Induk Landskap" oleh Institut Seni Bina Landskap Malaysia pada 2017  dan "Anugerah Mesra Keluarga" oleh StarProperty pada 2020. 

 

Dibangunkan di kawasan seluas 177.6 hektar di Alam Perdana, Selangor, dengan anggaran nilain pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion, projek Daunan Worldwide merangkumi 14 fasa, dengan dua fasa telah disiapkan dan diserahkan,  manakala dua fasa berikutnya sedang dalam pembinaan. 

 

Unit untuk Fasa 3, Lemuni, kini dibuka untuk jualan, menyasarkan pembeli muda dan moden, serta yang berminat untuk  menaik taraf kediaman sedia ada.

 

"Antara kriteria yang mengangkat Daunan Worldwide sebagai pemenang kategori tersebut  adalah ketersediaan kemudahan kesihatan berdekatan, kawasan hijau yang subur, kawasan  rekreasi, amalan kelestarian, inisiatif kemasyarakatan seperti program kesihatan dan akses  mudah ke pelbagai lebuh raya utama. 

 

daunan

 

"Pembangunan ini turut menampilkan reka bentuk  inovatif, produk berkualiti serta aspek keselamatan yang memuaskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Diilhamkan oleh tiga tonggak kesejahteraan WHB – fizikal, sosial dan alam sekitar – setiap  fasa kediaman di Daunan Worldwide merangkumi taman permainan kanak-kanak, kawasan hijau berlandskap dan kira-kira 0.2 hektar plot pertanian bandar komuniti bagi  menggalakkan penglibatan penduduk dengan aktiviti sosial dan berkebun. 

 

Perbandaran itu turut dilengkapi tasik buatan manusia seluas 5.4 hektar dengan empat pulau yang  dihubungkan oleh pelantar laluan, ideal untuk penduduk berkumpul dan bersosial.  

 

Kemudahan lain termasuk trek joging sejauh 1.8 km, padang bola sepak bertaraf antarabangsa, persiaran serta landskap subur di kawasan tasik sebagai "paru-paru hijau". 

 

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Hamyzar berkata, selaras  dengan nilai teras WHB iaitu 'Kecemerlangan,' anugerah itu adalah bukti dedikasi mereka terhadap kualiti dalam setiap aspek pembangunan projek, daripada perancangan dan reka bentuk sehingga pelaksanaan. 

 

"Pengiktirafan ini juga bukti komitmen kami kepada usaha menyediakan ruang kediaman mampu milik tetapi mewah untuk komuniti yang sedang berkembang dalam projek kami menerusi gabungan ciri-ciri  kesejahteraan dan gaya hidup berkomuniti.

 

"Sejak dahulu lagi, Worldwide Property telah menerapkan konsep kesejahteraan dalam pembangunan kami, seperti Subang Bestari yang berketumpatan rendah dengan purata 8 unit 0.4 hektar dan Puncak Bestari yang kawasan pembangunan bersihnya hanya 35%, bagi memastikan para penduduk dapat menikmati ruang kediaman yang luas, kawasan hijau dan pelbagai kemudahan berorientasikan kesihatan.

 

"Suasana sebegini yang jauh dari kesibukan kehidupan moden serta rancak dengan aktiviti kemasyarakatan terbukti menarik ramai  pembeli projek perumahan kami, termasuk Daunan Worldwide dan Residensi Lyra yang mendapat tempahan penuh walaupun baru dilancarkan di Cyberjaya bulan lepas," tambah Hamyzar yang turut menerima anugerah ‘Pemaju Inovatif’ bagi pihak Worldwide Property bagi kecemerlangan inovasi serta semangat dalam membangunkan komuniti dan ekonomi. 

 

Dalam setengah tahun akan datang, WHB merancang untuk melancarkan beberapa fasa kediaman baharu dengan Bukit Bandaraya Shah Alam sebagai fokus utama. 

 

Ia merupakan kawasan rumah teres terakhir di pusat bandar Shah Alam selain bakal menampilkan persekitaran yang nyaman kerana lokasinya yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 303.5 hektar. 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai projek-projek kediaman berprestij WHB, sila layari www.worldwideproperty.com.my.  - DagangNews.com