Projek ECRL atas jajaran asal telan kos RM50 bilion  | DagangNews Skip to main content

Projek ECRL atas jajaran asal telan kos RM50 bilion 

 

ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 April - Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di atas jajaran asal dijangka menelan kos sehingga RM50 bilion.

 

Unjuran kos jajaran asal yang merangkumi jalan pintas Serendah juga lebih rendah daripada jangkaan kos pembinaan ECRL 2.0 yang melalui jajaran selatan, menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

 

“Walaupun pelaksanaan ECRL akan kembali kepada jajaran asal, di mana melibatkan jajaran utara, namun pembinaan projek ECRL masih lagi boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun dengan operasi bermula pada 2027.

 

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

 

“Kementerian Pengangkutan sangat optimis terhadap pelaksanaan jajaran utara yang akan terus menjadikan ECRL sebagai pemangkin kepada infrastruktur negara di mana menghubungkan bandar-bandar di negeri pantai timur dan Lembah Klang selain menaik taraf sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar,” katanya menurut laporan The Edge. 

 

Dalam pada itu, Ka Siong juga menjelaskan bahawa pembinaan ERCL di atas jajaran asal itu menerima persetujuan Kabinet semasa perjumpaan pada 2 September tahun lalu.

 

Pada minggu lalu, kerajaan Selangor menetapkan pendiriannya untuk memilih jajaran selatan bagi ECRL yang dikatakan dapat membuka lebih banyak kawasan ekonomi selain mengelak daripada gangguan kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor.

 

Berdasarkan kajian Kementerian Pengangkutan, jajaran utara ECRL itu dijangka menarik 5.03 juta penumpang bagi tahun pertama perkhidmatan berbanding 4.07 juta menerusi jajaran selatan.

 

Jelas kementerian itu, tempoh perjalanan ke Kuala Lumpur juga dapat dikurangkan memandangkan perjalanan dari Kota Bharu ke ITT Gombak hanya mengambil masa empat jam berbanding purata tujuh jam menerusi laluan jalan raya atau sehingga 12 jam bagi musim perayaan.

 

Setakat Mac 2021, pembinaan ECRL telah mencapai tahap 21.39% untuk disiapkan. - DagangNews.com