KUALA LUMPUR 10 Jan - PC North Madura II Ltd., anak syarikat Petronas, mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk pembangunan lapangan minyak dan gas Hidayah, yang terletak di Kawasan Kontrak Madura Utara II, Jawa Timur, Indonesia.
PC North Madura II Ltd. adalah pengendali dengan kepentingan penyertaan 100 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) tersebut.
Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, pencapaian itu menegaskan komitmen teguh kumpulan dalam menyokong sasaran kerajaan Indonesia untuk mencapai matlamat tenaga negara.
"Kami bersyukur atas sokongan berterusan daripada pihak berkuasa Indonesia dan berharap untuk bekerjasama rapat dalam meneruskan pembangunan lapangan Hidayah," katanya dalam satu kenyataan.
Pelan pembangunan berkenaan meliputi penggerudian telaga pengeluaran minyak, disokong oleh platform kepala telaga dan pemprosesan pusat tanpa pengawal.
Ia merangkumi unit Penyimpanan Terapung dan Pemuatan (FSO) yang dilengkapi dengan kawasan kediaman dan bilik kawalan pusat untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.
Naib Presiden Petronas bagi Aset Antarabangsa Huluan, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, pencapaian FID untuk lapangan Hidayah adalah satu hasil penting bagi kumpulan di Indonesia.
"Pencapaian ini membina momentum penemuan minyak yang menjanjikan di Kawasan Kontrak Madura Utara II pada tahun 2021, membuka jalan untuk kami memainkan peranan yang lebih strategik dalam menyokong keperluan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini," ujarnya.
PC North Madura II Ltd. mengadakan pertemuan dengan pemegang kepentingan di peringkat tinggi untuk projek itu semalam, yang dihadiri oleh pemegang kepentingan utama Indonesia, termasuk Ketua SKK Migas, Djoko Siswanto.
SKK Migas adalah pengawal selia minyak dan gas huluan Indonesia.
Agensi itu menjangkakan, lapangan Hidayah akan beroperasi pada suku pertama 2027 dan mampu mengeluarkan 88.55 juta tong tangki stok sehingga 2041.
Petronas kini mengendalikan PSC Ketapang, Madura Utara II dan Madura Utara di luar pesisir Jawa Timur, serta PSC Bobara di luar pesisir Papua Barat.
Syarikat itu juga merupakan rakan usaha sama dalam lima PSC yang merangkumi daratan dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta Indonesia Timur.
Dalam sektor peralihan tenaga, Petronas terus fokus untuk mengembangkan jejak globalnya sambil meneroka inisiatif rendah karbon bagi menyokong pembangunan tenaga lestari, menyediakan tenaga yang selamat, mampu milik dan boleh dipercayai kepada pelanggan di seluruh dunia. - DagangNews.com