IPOH 14 Julai - Jalan Meru Raya-Klebang di sini yang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dengan Lebuh Klebang Putra akan dibuka kepada pengguna Ogos depan.
Pembinaan jalan bernilai RM7.2 juta ini bagi memendekkan jarak perjalanan dari kawasan Meru Raya ke Klebang.
Pembinaannya dilaksanakan secara kerjasama pintar antara Majlis Bandaraya Ipoh dengan beberapa pemaju.
Antaranya Ain Bina Development Sdn Bhd, Eadepro Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd melalui inisiatif pembiayaan swasta.
Pihak kerajaan negeri pula menanggung kos bagi proses pengambilan balik tanah dengan anggaran sebanyak RM4.2 juta
Ketika ini projek yang dilaksanakan pada April tahun lalu itu telah pun 98 peratus siap.
Fasa akhir yang sedang dilaksanakan ialah kerja-kerja menyiapkan tanda garisan jalan dan pemasangan papan tanda oleh kontraktor bagi melengkapkan fasiliti keselamatan jalan raya di laluan berkenaan.
Projek ini melibatkan dua fasa iaitu fasa 1 pembinaan sebuah jambatan sepanjang 50 meter merentangi Sungai Pari dengan kos RM2.1 juta siap pada November lalu.
Fasa 2 pula ialah pembinaan jalan empat lorong dua hala sepanjang 1.3 kilometer dengan kos sekitar RM5 juta.
Ia juga bakal mengurangkan kesesakan lalulintas di Pekan Chemor dan merancakkan semula aktiviti ekonomi, perniagaan serta perumahan di sekitarnya.
Pengguna jalan raya dari Chemor dapat menjimatkan 20 minit tempoh perjalanan ke Meru dan Klebang.
Dalam tempoh lima tahun, dianggarkan lebih 1,700 buah rumah dan lot komersial akan dibangunkan oleh pihak pemaju di sekitar kawasan ini. - DagangNews.com