Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim akhirnya diluluskan | DagangNews Skip to main content

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim akhirnya diluluskan

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)

Oleh EMIR MUKMIN
[email protected]

 

 

ALOR SETAR 28 Okt. - Cadangan pembinaan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang mula diperkenalkan sejak 2014 akhirnya dibincang dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), semalam.

Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijalankan secara atas talian dengan beliau bersama beberapa pihak berkaitan diberi peluang membuat pembentangan berhubung perkara tersebut.

"Ini merupakan anak tangga pertama yang dilepasi sejak KXP dicanangkan pembinaannya, enam tahun lalu.

"Terdapat juga perkara baharu dibangkitkan di mana sebuah syarikat swasta yang memiliki tanah seluas 2,428 hektar di kawasan tersebut, memohon supaya tanah itu dibangunkan sebagai hab industri semi-konduktor bagi 'menghidupkan' lagi KXP," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

DagangNews.com pada 30 September lalu melaporkan pendedahan dibuat Muhammad Sanusi mengenai perancangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang tidak langsung pernah dibawa ke MPFN oleh kerajaan negeri terdahulu.  

Baca: Perancangan bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim tidak pernah dirunding

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, setakat ini sebanyak 12 konsultan telah dilantik bagi menjalankan kajian berhubung pembinaan KXP antaranya syarikat kejuruteraan gergasi Perancis, Aeroport de Paris Ingenierie (ADPI) yang pernah membuat laporan mengenai pembangunan 40 lapangan terbang antarabangsa seluruh dunia.

"Selain itu terdapat juga laporan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Kanada. Mereka turut meneliti mengenai permintaan pengangkutan udara pada masa depan yang diunjurkan hingga 2050," katanya.

 

Muhammad Sanusi Md. Nor
Muhammad Sanusi Md. Nor

 

Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan, setakat ini pertimbangan masih dilakukan oleh kerajaan pusat berhubung pembiayaan pembinaan KXP.

"Jika Kerajaan Persekutuan tak dapat sediakan pinjaman berjumlah RM.25 billion atau RM1 billion, kita akan libatkan pihak swasta yang berminat, bersedia dan berkeupayaan membangunkan projek ini.

"Dalam masa sama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga akan melaksanakan Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM) serta Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) yang merupakan sebahagian daripada komponen projek ini," katanya.

Tambahnya, KXP dijangkakan akan memiliki sehingga empat landasan (Runway).

"Kita akan bermula dengan satu landasan dalam fasa pertama diikuti satu lagi landasan dalam fasa kedua.

"Landasan ketiga dan keempat akan dibina dalam fasa seterusnya menjelang 2050," katanya. - DagangNews.com