Projek pembangunan Langkasuka Village bermula, dijangka siap Ogos 2023 - Widad | DagangNews Skip to main content

Projek pembangunan Langkasuka Village bermula, dijangka siap Ogos 2023 - Widad

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), melalui anak syarikat milik penuhnya Langkasuka Land Sdn Bhd, menganjurkan majlis pecah tanah pada 23 Oktober 2022 untuk memulakan kerja pembangunan di Langkasuka Village, fasa 1 projek Widad Langkasuka.

 

Majlis pecah tanah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu menandakan permulaan pakej kerja pembangunan tanah bernilai RM40 juta, yang disasarkan siap pada 3 Ogos 2023.

 

Kelulusan pengezonan semula guna tanah dan permohonan kelulusan perancangan pembangunan membolehkan permulaan kerja-kerja fizikal di tapak menandakan permulaan impian besar Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah untuk mengubah dan membuka jalan bagi evolusi Langkawi daripada menjadi permata Kedah untuk menjadikan ‘ia’ destinasi utama dunia.

 

Muhammad Sanusi berkata, beliau percaya Widad Langkasuka akan menjadi produk ikonik dan tarikan unik untuk Langkawi apabila ia dibina sepenuhnya pada masa hadapan.

 

"Kira-kira seluas 2,000 ekar, projek bersepadu ini merangkumi pembangunan runcit dan beli-belah, hospital, kediaman, rekreasi, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi. Saya ingin memuji projek ini kerana ia telah memenuhi enam teras utama Pelan Pembangunan Kedah 2035," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah; Ketua Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Widad Business Group Sdn Bhd, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, Radzuan Osman.

 

 

WBG amat berterima kasih kepada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memudahkan Langkasuka Land Sdn Bhd melalui insentif fiskal dan bukan fiskal khusus wilayah yang menggalakkan pelaburan serantau bernilai tinggi dan substantif.

 

Muhammad Ikmal menyifatkan, sebagai projek berimpak tinggi, Widad Langkasuka akan dibina dengan memberi tumpuan kepada konsep penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang kondusif untuk memacukan lagi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.

 

 

widad
(Dari kiri) Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, Datuk Abdul Gafar Yahya, Datuk Juhari Bulat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar dan  Radzuan Osman ketika majlis pecah tanah Langkasuka Village di Langkawi pada 23 Oktober 2022.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, pengembangan kumpulan perniagaan Widad di Malaysia menandakan keyakinannya terhadap pertumbuhan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. 

 

"Ia juga berfungsi sebagai pemangkin pembangunan potensi pelaburan baharu serta membina semula industri pelancongan tempatan yang berdaya tahan dan mampan. Perasmian Langkasuka Village akan merancakkan lagi perniagaan dan aktiviti pelancongan di pulau itu, khususnya dalam kalangan pelancong kelas atasan. 

 

 

widad

 

 

"Inisiatif yang selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 ini, bukan sahaja akan memanfaatkan daya saing industri pelancongan Malaysia tetapi juga akan membolehkan masyarakat tempatan mencapai pembangunan sosio-ekonomi. MIDA akan bersedia untuk memudahkan dan menyokong pelaksanaan projek Kumpulan Perniagaan Widad dan pengembangan masa depan," katanya.

 

Keseluruhan projek pembangunan bercampur itu dianggarkan bernilai RM40 bilion. Apabila siap, ia akan menjadi bangunan bandar pelancongan yang berdasarkan model 'seni bina vernakular Melayu', sebuah komuniti global berdasarkan warisan kepulauan yang mengguna pakai ciri tropika tempatan yang hijau dan mesra alam.

 

Langkasuka Village membentuk sebahagian daripada pembangunan lebih besar iaitu 2,000 ekar yang dikenali sebagai Widad Langkasuka, yang kemudiannya akan merangkumi pulau buatan manusia berbentuk helang yang dikenali sebagai Bandar Langkasuka.

 

Pembangunan Langkasuka Village termasuk Kelab Golf dan Desa Langkasuka, padang golf peringkat kejohanan dengan pembinaan rumah kelab seluas 400,000 kaki persegi. 

 

LangVilla, vila-vila mewah yang dikelilingi padang golf yang luas, pusat membeli-belah yang direka bentuk secara artistik untuk pengalaman runcit dengan hiburan dalaman dan luaran, hotel bertemakan hutan hujan yang mengunjur ke Laut Andaman, pangsapuri berperkhidmatan serta kondominium mewah.

 

Dengan motto Evolving Legacy, Widad Langkasuka berhasrat untuk membawa ke hadapan kekayaan warisan Langkasuka purba, yang pada zamannya merupakan lokasi perdagangan terulung nusantara dan dengan itu, mengembangkannya menjadi sebuah bandar termaju masa hadapan. 

 

Widad Langkasuka akan mewujudkan pembangunan bandar pintar dengan teknologi mampan yang menghormati budayanya yang kaya dan intipati geografi, hiburan dan seni pulau itu untuk melengkapkan kediaman, perniagaan, pendidikan dan hab perubatan bersepadu pembangunan itu. - DagangNews.com