IPOH 8 Jan - Perak bakal menerima pelaburan swasta sebanyak RM14 bilion menerusi projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan Baru dekat Chemor melibatkan kawasan seluas 816 ekar.
Ia dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi anak syarikatnya, Perak Corporation Berhad dan Advancecon Holdings Berhad.
Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, SVTP juga bakal mencipta kira-kira 13,000 peluang pekerjaan apabila siap dibangunkan sepenuhnya.
Menurut beliau, projek itu terletak di lokasi strategik antara Taman Perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya yang mempunyai ekosistem sokongan yang lengkap.
“Lokasi SVTP strategik termasuk kedudukannya yang berdekatan dengan kemudahan asas sedia ada serta memberikan nilai tambah dalam menarik pelabur.
"Melalui perjanjian ini, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran, pengetahuan dan keupayaan dalam pembangunan SVTP.
"Pembangunan fasa baharu SVTP ini dapat memposisikan Perak pada garisan revolusi industri melalui kolaborasi pintar dan pacuan inovasi dalam sektor-sektor strategik, " ujarnya.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Rosmin Mohamed yang kemudiannya menyerahkan perjanjian tersebut kepada CEO Advancecon Holdings Berhad, Dato’ Phum Ang Kia.
Mengulas lanjut kata Saarani, projek yang dijangka siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan memastikan SVTP berupaya menjadi pemangkin dan pemacu kepada pembangunan perindustrian negeri.
Katanya, ia juga menjadi hab perindustrian baharu negara, aspek kualiti, keselamatan juga tidak akan dikompromi.
Sementara itu, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pelaburan SVTP banyak bergantung kepada pemprosesan mineral yang menjadi kekuatan negeri Perak seperti elektrik dan elektronik serta farmaseutikal. - DagangNews.com