PROLINTAS turun kadar tol empat lebuh raya antara 8-15 peratus mulai 20 Okt 2022 | DagangNews Skip to main content

PROLINTAS turun kadar tol empat lebuh raya antara 8-15 peratus mulai 20 Okt 2022

Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), satu daripada 4 lebuh raya kendalian PROLINTAS yang menikmati penurunan caj tol.

KUALA LUMPUR 20 Okt - Kadar tol empat lebuh raya di bawah pengendali lebuh raya bandar terbesar di Lembah Klang, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) akan diturunkan antara 8% dan 15% mulai 12.01 tengah malam ini, Khamis (20 Oktober).

 

PROLINTAS dalam kenyataannya berkata, lebuh raya itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

 

Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan Kelas Satu (kenderaan mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), Kelas Empat (teksi) dan Kelas Lima (bas) di empat lebuh raya terlibat, katanya.

 

Bagaimanapun, PROLINTAS berkata, kadar tol adalah tidak berubah bagi kenderaan Kelas Dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan Kelas Tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas).

 

Penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Okt 2022, katanya.

 

“PROLINTAS komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuk dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya, sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya.

 

“Syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat,” katanya. - DagangNews.com