KUALA LUMPUR 27 Dis - Proses perolehan Filipina untuk mendapatkan pesawat pengangkut taktikal C-130J-30 Super Hercules untuk tentera negara itu berjalan lancar apabila sebahagian pembayaran telah dilakukan.
Tiga pesawat pengangkut ini bakal menjadi aset baharu negara itu menerusi sebahagian daripada program pemodenan yang diatur.
Walaupun tidak didedahkan tetapi dianggarkan kos perolehan pesawat ini melibatkan perbelanjaan sebanyak AS$300 juta.
Negara itu pada Oktober lalu mengumumkan perolehan tiga buah pesawat buatan Lockheed Martin Amerika Syarikat (AS) ini melalui jualan komersial langsung.
Cadangan asal adalah untuk mendapatkan lima buah pesawat sebelum dikurangkan kepada tiga.
Ini menjadikan Filipina sebagai negara kedua di rantau ini mengoperasiikan pesawat paling moden dalam keluarga Hercules selepas Indonesia.
Tentera udara Indonesia membeli lima buah pesawat C-130J-30 Super Hercules yang mana sebahagiannya telah diterima.
Keseluruhannya sebanyak 21 buah negara menjadi pengguna Super Hercules dengan jumlah lebih 500 pesawat.
Ketiga-tiga pesawat itu dijadualkan diterima pada tahun 2026.
Sepertimana kebanyakan negara serantau yang merupakan sahabat AS, Filipina merupakan pengendali pesawat C-130 sejak 40 tahun lalu.
Ia ketika ini memiliki empat C-130H untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan, ketenteraan dan bencana alam di samping pesawat pengangkut lain.
Jumlah ini kecil berbanding saiz negara kepulauan tersebut, tambahan pula ia mempunyai wilayah perairan yang luas.
Disebabkan itu, Tentera Udara Filipina jauh ketinggalan berbanding negara serantau dalam aspek pemilikan pesawat dengan jumlah yang ada pula tidak seimbang.
Pesawat C-130J-30 Super Hercules, versi moden dengan ruang kargo lebih luas berbanding varian sebelumnya masih mengekalkan ciri-ciri sebagai pesawat pengangkut terbaik.
Varian ini menawarkan ruang kargo yang lebih panjang iaitu kira-kira 5 meter dibandingkan C-130J standard sekali gus jumlah muatan yang boleh dibawa bertambah.
Bagi Malaysia pula, TUDM kekal mengoperasikan 15 pesawat pengangkut taktikal Hercules C130H sedia ada selain pesawat CN235.
Berdasarkan prestasi dan penggunaan, Hercules memang diakui sebagai pesawat pengangkut taktikal terbaik untuk TUDM.
Dengan keperluan dan operasi yang semakin bertambah, mendapatkan tambahan pesawat pengangkut seperti Hercules varian J ini untuk TUDM pasti bakal meningkatkan keupayaan yang ada.- DagangNews.com