Prospek Bursa Malaysia bagi FY22 dijangka terus lemah | DagangNews Skip to main content

Prospek Bursa Malaysia bagi FY22 dijangka terus lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Jan - Bursa Malaysia Bhd. dijangka merekodkan hasil yang lebih lemah bagi tahun kewangan 2022 (FY22) berikutan pelaksanaan Cukai Makmur dengan kadar cukai lebih tinggi tahun ini. 

 

Ini menyaksikan CGS-CIMB mengulangi saranan 'pegang' terhadap Bursa Malaysia setelah mengambil kira prospek pendapatan yang lemah. 

 

Bagaimanapun, firma itu dalam nota kajiannya hari ini mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM6.59 sen sesaham. 

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, untung bersih bagi tahun kewangan 2022 (FY22) diunjur 39.4% lebih rendah disebabkan penurunan nilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 34.1% kepada RM2.33 bilion berbanding RM3.55 bilion pada FY21. 

 

Pada masa sama, katanya, tambahan perbelanjaan Cukai Makmur pada kadar 30.9% tahun ini berbanding 25.7% tahun lalu turut menjejaskan untung bersih Bursa Malaysia. 

 

"Ekuiti ADTV lebih rendah ini disebabkan kadar setem duti yang lebih tinggi, penyertaan pelabur runcit yang semakin berkurangan apabila perintah sekatan berakhir pada suku ketiga 2021 dan kemungkinan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) pada separuh kedua ini," katanya. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, Bursa Malaysia merekodkan keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) sebanyak RM355.3 juta bagi FY21, susut 6% berbanding RM377.7 juta bagi tempoh kewangan sama tahun lalu. 

 


Baca : Untung bersih Q4 Bursa Malaysia merosot 38% kepada RM64.95 juta, pendapatan juga susut

 

 

Penurunan ini disebabkan hasil operasi yang lebih rendah, susut 3.5% kepada RM751.6 juta dalam tempoh tersebut berbanding RM778.8 juta pada FY20.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi FY21 juga susut kepada RM767.54 juta berbanding RM798.97 juta pada FY20.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya merosot 38.05% kepada RM64.95 juta daripada RM104.85 juta manakala pendapatan juga susut 28.4% kepada RM165.18 juta berbanding RM230.7 juta. 

 

Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, kelemahan dagangan pada suku keempat kemungkinan akan berterusan sehingga suku pertama 2022 disebabkan ketidaktentuan pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan isu geopolitik. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan aktiviti dagangan akan kembali pulih setelah semua perkara selesai. 
Tambahan pula, kami melihat minat pelabur asing sudah mulai kembali ke pasaran tempatan," jelasnya. 

 

Berdasarkan aliran dana daripada bursa, pelabur asing merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM463.5 juta pada bulan ini. 

 

Menurut beliau, walaupun masih terlalu awal, tetapi FY22 akan menyaksikan perubahan berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan bagi anggaran pendapatan FY21 setakat ini, kerana sudah mengambil kira kenaikan kadar cukai sekali sahaja berikutan pelaksanaan Cukai Makmua yang diumumkan dalam Bajet 2022. 

 

"Tetapi, kami percaya penurunan harga saham baru-baru ini mencerminkan sahamnya berada di bawah nilai semasa," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bursa Malaysia tetapi menyemak turun TP lebih rendah kepada RM7.45 berbanding RM8.20 sebelum ini setelah menambat pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang lebih rendah sebanyak 20x (daripada 22x) yang mengambil kira ketidaktentuan semakin meningkat. 

 

Setakat 9.28 pagi ini, harga saham Bursa Malaysia menokok 10 sen atau 1.62% kepada RM6.28 dengan 42,000 saham diniagakan. - DagangNews.com