Prospek CSC Steel diunjur tidak menentu, TA Securities semak turun penarafan kepada 'jual' | DagangNews Skip to main content

Prospek CSC Steel diunjur tidak menentu, TA Securities semak turun penarafan kepada 'jual'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Prospek CSC Steel Holdings Bhd diunjur tidak menentu kesan daripada keadaan pasaran mencabar, kata TA Securities yang menurunkan penarafan kumpulan itu kepada 'jual' akibat keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Katanya, kemerosotan berpanjangan dalam sektor hartanah China, perbelanjaan infrastruktur yang lemah dan ketegangan perdagangan yang meningkat juga telah menekan harga keluli global.

 

Firma penyelidikan itu berkata, persaingan yang semakin meningkat daripada kos import rendah terutama dari Vietnam juga terus memberi tekanan kepada harga domestik.

 

"Memandangkan profil ganjaran risiko negatif, kami menurunkan penarafan saham kepada 'jual'," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Saham CSC Steel telah merosot dalam beberapa minggu kebelakangan ini menjelang pengumuman keputusan Jumaat lalu dan turun 18% daripada kemuncaknya tahun ini pada 24 Mei di tengah-tengah penurunan harga keluli di seluruh dunia baru-baru ini. 

 

Keluli gegelung, sebagai contoh, telah merosot kira-kira 40% setakat tahun ini di tengah-tengah kebimbangan terhadap permintaan.

 

TA Securities berkata, di peringkat domestik, purata harga jualan (ASP) untuk CSC Steel lemah pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) dengan sebahagiannya disebabkan tamat tempoh duti anti-lambakan di Malaysia, yang telah menekan harga keluli secara keseluruhan.

 

Katanya, untung bersih teras kumpulan sebanyak RM16 juta pada 1HFY24, penurunan 59% dari tahun ke tahun, menyumbang hanya 31% daripada anggaran tahun penuh manakala hasil juga agak tidak berubah.

 

Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatannya untuk CSC Steel sebanyak 41% bagi FY24 kepada RM30.9 juta untuk mencerminkan kadar penggunaan dan ASP yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, pelancaranprojek infrastruktur berskala besar mulai tahun depan akan mengurangkan tekanan ASP dan meningkatkan jumlah jualan dalam industri keluli, kata firma itu.

 

"Permintaan untuk produk keluli juga dijangka kekal berdaya tahan berikutan pemulihan sektor hartanah domestik, didorong oleh pelancaran projek perumahan baharu dan peningkatan aktiviti pembinaan," katanya. - DagangNews.com