Prospek IOI Properties Group diunjur positif disokong pengembangan portfolio perindustrian - UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Prospek IOI Properties Group diunjur positif disokong pengembangan portfolio perindustrian - UOB Kay Hian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - IOI Properties Group Bhd diunjur mengekalkan prospek positif yang disokong oleh pengembangan portfolio perindustriannya.

 

Kumpulan itu sedang melaksanakan pengembangan besar portfolio hartanah perindustriannya, dengan projek utama di Banting, Selangor; Iskandar Malaysia, Johor dan Melaka.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research melihat keputusan pemaju untuk berkembang menjadi hartanah perindustrian sebagai langkah strategik.

 

Katanya, kumpulan itu merancang untuk mengewangkan bank tanahnya yang sedia ada, seperti di Melaka, di mana tanah masih belum dibangunkan.

 

“Dengan memanfaatkan aset tanahnya yang tidak digunakan, kumpulan itu meletakkan dirinya untuk membuka nilai tanpa memerlukan pengambilan tanah baharu.

 

“Sebagai contoh, pembesaran iSynergy @ Kulai akan menggunakan tanah simpanan sedia ada 1,383 hektar di perbandaran Bandar Putra Kulai.

 

"Pendekatan ini mengurangkan kos pendahuluan sambil mengambil kesempatan daripada sektor perindustrian Johor yang berkembang pesat, yang berada di landasan untuk menjadi hab ekonomi serantau seperti Shenzhen, China," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penelidikan itu berkata, kumpulan itu tidak lama lagi akan memegang kira-kira 516 hektar bank tanah perindustrian (berganda daripada bank tanah perindustrian awalnya sekitar 239 hektar), dengan pembesaran.

 

“Ini akan meletakkan kumpulan itu sebagai pemain utama dalam ruang hartanah perindustrian, lebih besar daripada 476 hektar oleh Eco World Development Group Bhd dan kedua selepas Sime Darby Property Bhd, yang mempunyai kira-kira 1,214 hektar.

 

"Skala bank tanah ini, digabungkan dengan pengewangan strategik dan permintaan industri, seharusnya memberi kesan positif kepada prestasi kewangan jangka panjang IOI Properties, meningkatkan daya saingnya dalam pasaran," katanya.

 

UOB Kay Hian berkata, kumpulan itu merancang untuk menubuhkan dua lagi taman perindustrian dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang di wilayah ini.

 

Selain itu, IOI Properties sedang meneroka peluang untuk menjual sebahagian daripada bank tanah perindustriannya kepada pengendali pusat data, melangkaui mod hartanah perindustrian tradisioanal iaitu bina-untuk-jual.

 

Kumpulan itu sedang berbincang dengan empat hingga lima pengendali pusat data di Kulai, Johor, dengan potensi jualan tanah berharga minimum RM100 setiap kaki persegi.

 

“Kos tanah Kulai ialah RM2 setiap kaki persegi, seperti yang dilaporkan dalam laporan tahunan tahun kewangan 2023.

 

“Harga ini jauh melebihi RM75 sekaki persegi yang dicapai oleh Eco World dalam penjualan tanahnya kepada Microsoft baru-baru ini.

 

“Strategi sedemikian menawarkan potensi untuk margin yang besar, memanfaatkan permintaan yang berkembang pesat untuk infrastruktur pusat data.

 

"Dengan bank tanah perindustrian di Kulai yang kini berada di 304 hektar selepas pembesaran, malah penjualan separa kepada pemain pusat data boleh menjana hasil yang besar," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com