Prospek jangka pendek Chin Well terus mencabar, RHB Investment turunkan taraf saranan kepada ‘jual’ dengan TP RM1.10 | DagangNews Skip to main content

Prospek jangka pendek Chin Well terus mencabar, RHB Investment turunkan taraf saranan kepada ‘jual’ dengan TP RM1.10

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - RHB Investment menurunkan taraf saranan Chin Well Holdings Berhad kepada ‘jual’ daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.10 sesaham daripada RM1.45 sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa ia memotong unjuran terlebih dahulu sebelum keputusan dikeluarkan pada 29 November memandangkan ia lebih berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Chin Well.

 

Katanya, ini adalah berikutan persekitaran lemah pasaran berpanjangan dan persaingan semakin sengit susulan pembukaan semula ekonomi China.

 

“Memandangkan sentimen lemah pada masa ini, kami meramalkan pemulihan jualan lembap dan percaya penilaian semasa (+2SD) masih belum mencerminkan sepenuhnya kelemahan dan cabaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Memandangkan konflik geopolitik berterusan dan sentimen ekonomi global lemah, RHB Investment menjangkakan purata harga jualan (ASP) produk Chin Well kekal rendah disebabkan permintaan yang lemah.

 

Tambahnya, majoriti pelanggan kumpulan terbabit menangguhkan tempahan ekoran pelarasan inventori berterusan disebabkan keadaan ekonomi yang lemah.

 

“Akibatnya, kadar penggunaan kapasiti unit pengeluaran kekal di bawah 30%. Persaingan yang semakin sengit berikutan pembukaan semula ekonomi China dan persekitaran kos operasi yang lebih tinggi boleh memampatkan lagi marginnya,” tambah firma itu.

 

Agar kekal berdaya saing, firma itu berkata Chin Well memberi tumpuan menaik taraf dan mengautomasikan sistem inventori dan pergudangannya yang sepatutnya menghasilkan kecekapan kos dan produktiviti lebih tinggi, seterusnya berpotensi menyumbang kepada peningkatan margin dalam jangka panjang.

 

Ini juga adalah untuk meletakkan kedudukannya secara strategik dalam jangkaan pemulihan jualan secara beransur-ansur pada 2024, didorong oleh kehabisan inventori pelanggan dan penyambungan semula projek pembinaan tempatan.

 

Walaupun pihak pengurusan percaya jumlah jualan mungkin melantun semula, tahap dan kelajuan pemulihan masih tidak pasti.

 

“Kami mengurangkan [unjuran] pendapatan FY24-26 sebanyak 28.8%, 17.4% dan 1.4%, mengambil kira kelemahan permintaan yang berpanjangan dan kehilangan skala ekonomi,” katanya.

 

Pada rehat tengah hari, saham Chin Well kekal pada RM1.39 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM416.4 juta.  - DagangNews.com