Prospek kewangan Padini dijangka terus suram memasuki 1Q22 - MIDF | DagangNews Skip to main content

Prospek kewangan Padini dijangka terus suram memasuki 1Q22 - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Jualan dan tahap keberuntungan Padini Holdings Berhad dijangka kekal lemah memasuki suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22) ekoran penguatkuasaan ‘lockdown’ yang berpanjangan. 

 

Bagaimanapun, penganalisis di MIDF Research, Ng Bei Shan tidak menolak kemungkinan prestasi syarikat perkhidmatan dan produk pengguna itu mungkin bertambah baik, 2QFY22 dan suku tahun seterusnya, bergantung kepada situasi pandemik. 

 

“Oleh itu, kami mengambil pendirian yang lebih konservatif dan mengurangkan unjuran keuntungan bersihnya bagi FY22 sebanyak -20.0% kepada RM99.1 juta dan unjuran bagi FY23 sebanyak -11.6% kepada RM132.7 juta,” jelas Bei Shan dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Bagi 4QFY21, Padini berjaya mencatatkan keuntungan RM10.5 juta berbanding kerugian RM18.3 juta yang dicatatkan tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Ini disebabkan oleh hasilnya yang melonjak 20.4% kepada RM209.8 juta berbanding tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, dari segi perbandingan suku tahunan, keuntungan bersih Padini menyusut -14.3% ekoran hasil yang merosot -20.2% disebabkan oleh penutupan kedai fizikalnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh selama sebulan. 

 

Jika dibandingkan dengan 3QFY21, kerajaan belum melaksanakan lagi ‘lockdown’ di seluruh negara dalam tempoh berkenaan. 

 

Menurut Bei Shan lagi, firmanya mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham Padini dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM3.29 daripada RM3.06.

 

“Kami berpendapat Padini berada dalam kedudukan baik untuk pulih selepas pandemik kerana nilai tawaran produknya dan kunci kira-kira yang kukuh (tunai bersih bernilai RM523.8 juta).

 

“Tetapi, kami fikir terlampau banyak aspek positif yang telah diambil kira. Disebabkan itu, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham tersebut,” katanya lanjut. - DagangNews.com