Prospek kurang meyakinkan, CGS-CIMB turunkan penarafan VS Industry kepada 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Prospek kurang meyakinkan, CGS-CIMB turunkan penarafan VS Industry kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Okt - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan VS Industry Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.04 daripada RM1.21 sesaham sebelum ini. 

 

Menurutnya, prospek pertumbuhan kumpulan dijangka menyederhana disebabkan kelembapan permintaan akhir bagi pengguna elektrik di seluruh dunia.

 

Ini mendorong firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 1.2%, 12.4% dan 11.3%. 

 

"Semakan ini disebabkan kami melihat semula andaian pertumbuhan pesanan untuk pelanggan utamanya (selain daripada Pelanggan X), dan mengurangkan kadar penggunaan untuk kilang baharunya di i-Park@Senai Airport City, yang terutamanya bagi memenuhi keperluan Pelanggan Y.

 

"Namun, kami masih menjangkakan suku yang lebih kukuh mulai suku pertama FY23 dan seterusnya berikutan peningkatan pemasangan model produk baharu untuk Pelanggan X dan Y serta pertambahan margin daripada kadar penggunaan yang lebih tinggi di kemudahannya selepas penambahan penuh tenaga kerjanya," katanya dalam nota kajian bertarikh 30 September 2022.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan minggu lalu, untung bersihnya pada suku keempat berakhir 31 Julai 2022 susut 16.69% kepada RM34.57 juta daripada RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu di sebabkan rosot nilai pelaburan dalam syarikat sekutu sebanyak RM25.8 juta.

 

Hasil yang lebih rendah itu juga disebabkan oleh kerugian rosot nilai sebanyak RM12.4 juta ke atas loji dan peralatan.

 

Pendapatan pada suku tersebut bagaimanapun meningkat lebih RM1 bilion daripada RM941.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya memandangkan operasinya di Malaysia merekodkan peningkatan 11.21% kepada RM908.26 juta bagi penghantaran pesanan kepada pelanggan utama.

 

Bagi tahun kewangan penuh (FY22), untung bersihnya merosot 30.82% kepada RM169.74 juta daripada RM245.35 juta pada FY21 dengan pendapatan juga susut 2.2% kepada RM3.91 bilion daripada RM4 bilion.

 

Prestasi FY22 terjejas disebabkan penghantaran pesanan yang lebih rendah kepada pelanggan utama di tengah-tengah masalah kekurangan buruh dan gangguan berlarutan dalam rantaian bekalan global, yang memberi kesan kepada bekalan komponen selain pengeluaran besar-besaran untuk pelanggan utama baharu masih belum mencapai tahap optimum.

 

Menerusi taklimat dengan penganalisis baru-baru ini, CGS-CIMB berkata, kumpulan menganggarkan kadar penggunaan lebih tinggi pada FY23 berbanding FY22 memandangkan ia telah menerima 3,700 pekerja asing yang boleh diambil bekerja dan mampu menangani masalah kekurangan komponen.

 

"Bagi kumpulan, jumlah pekerja asing sepatutnya mampu menampung pesanan yang diperolehnya setakat ini," katanya. 

 

Menurut firma itu, VS Industry kini memberi panduan prospek yang lebih berhati-hati berikutan permintaan akhir yang dijangka perlahan membabitkan beberapa pelanggan utamanya dalam segmen pasaran yang besar.

 

Namun, katanya, kumpulan masih menjangkakan pertumbuhan permintaan yang sihat daripada dua pelanggan utamanya, Pelanggan X dan Pelanggan Y, setelah memperoleh model produk baharu.

 

"Secara keseluruhan, VS Industry menjangkakan pengalihan pembuatan daripada Pelanggan X dan Y untuk lebih daripada mengimbangi pesanan yang dikurangkan daripada pelanggan utama lain,  merupakan bukti kedudukan kumpulan yang menguntungkan sebagai penyedia perkhidmatan pembuatan (EMS) yang pelbagai," jelasnya.

 

Setakat 12.22 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 1.55% kepada 95.5 sen dengan 2.8 juta saham diniagakan. -DagangNews.com